Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, melahirkan rasa kesal dan menyeru kerajaan negeri Selangor untuk segera merangka pelan menyeluruh
Bagi menangani isu banjir yang masih berlarutan hingga kini.
Baginda bertitah, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah berkali-kali diingatkan
Agar mengambil langkah efektif dan membuat perancangan teliti untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Namun, banjir terus berlaku setiap tahun, malah menjadi semakin teruk.
Sampai bila kita mahu menyalahkan perubahan iklim atau tahap hujan yang luar biasa sebagai ‘act of God’ (kuasa Tuhan)?
Beta sudah penat mengingatkan isu ini, tetapi seolah-olah tiada siapa peduli, umpama mencurah air di daun keladi.
“Kenapa masalah ini tidak dapat diselesaikan? Tidakkah kerajaan negeri memikirkan kesengsaraan rakyat yang terpaksa menghadapi kerosakan harta benda, ancaman keselamatan, dan kehilangan nyawa akibat banjir?” titah baginda ketika merasmikan Masjid Jamek Cina Muslim Klang, lewat petang tadi.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa kerajaan negeri telah memperuntukkan jutaan ringgit untuk menangani masalah banjir, sama ada melalui langkah jangka pendek mahupun panjang. Namun, hasilnya tidak kelihatan.
“Jika kontraktor yang diberi tanggungjawab melaksanakan projek gagal, kerajaan negeri perlu melantik pihak lain yang lebih berwibawa. Tidakkah kita belajar daripada kesilapan lalu, khususnya bencana banjir pada Disember 2021 yang hampir melumpuhkan Selangor? Kita perlu memperbaiki keadaan ini demi kesejahteraan rakyat,” titah baginda.
Baginda menekankan kepentingan segera merangka pelan menyeluruh dan menubuhkan pasukan khas untuk menyelesaikan isu banjir secara efektif.
Selain isu banjir, Sultan Sharafuddin turut melahirkan rasa dukacita terhadap tahap kebersihan di Bandaraya Diraja Klang.
Baginda menerima banyak aduan mengenai pemandangan yang tercemar, terutama di kawasan Pelabuhan Klang, yang digambarkan sebagai menjijikkan.
Baginda berharap tindakan segera diambil untuk memperbaiki kebersihan dan imej kawasan tersebut demi kebaikan rakyat dan negeri Selangor.
baca: Yoga sebahagian daripada Hinduisme – Presiden Yoga Malaysia