Seorang pelajar yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kota Kinabalu ‘kantoi’ dengan gurunya merokok di dalam tandas sekolah.
Namun, pelajar itu kemudiannya dipercayai sempat menghubungi bapanya yang meminta agar datang ke sekolah sebelum cuba menyerang guru berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, keadaan pada pagi 29 Januari itu menjadi tegang apabila lelaki itu datang dengan keadaan marah.
Lelaki berusia 49 tahun itu menuduh guru terbabit memukul anak lelakinya.
“Guru itu seterusnya menerangkan kejadian sebenar, namun bapa pelajar terbabit tidak dapat menerima dan terus memaki hamun serta mengamuk di dalam kawasan sekolah.
“Bapa pelajar itu turut bertindak agresif termasuk menolak dan mencekik guru berkenaan sehingga hampir terjatuh,” katanya.
Beliau berkata, beberapa guru yang berada di sekolah sama kemudiannya membantu menenangkan keadaan.
“Kejadian sempat dirakam beberapa individu lain di kawasan sekolah sebelum tular di media sosial,” katanya.
Akibatnya, bapa pelajar itu ditahan kerana mengugut guru sekolah berkenaan.
Lelaki berkenaan ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan selepas guru terbabit membuat laporan polis berikutan insiden kira-kira pukul 9 pagi tersebut.
Dalam hal berkaitan, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, pelajar itu masih dibenarkan mengambil SPM walaupun sudah dibuang sekolah.
“Kita juga mengesahkan kejadian pelajar terbabit merokok di dalam tandas sekolah adalah benar.
“Setiap calon SPM hendaklah akur kepada peraturan sedia ada di sekolah selain menjaga tingkah laku yang baik agar tidak mengganggu perjalanan peperiksaan,” kata Raisin lagi.
Baca:
Kediaman anda mungkin selamat dari ular jika buat 7 perkara ini
‘Baru tahu Melayu dulu ada permainan tabal’ – Penjajah dah lama tulis, kini hanya ada di Lingga
Boleh jadi ‘port’ sarapan, cafe 7 eleven kini tawar pelbagai makanan menarik