Realtime website trackingweb stats

Berakhirnya pemerintahan paling singkat dalam sejarah

Oleh ADINDA

Tanggal 16/8/2021 berakhirnya era pemerintahan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk atas kerjasama PPBM, BN, PAS dan GPS setelah Tan Sri Mahiaddin Md Yasin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1/3/2020. Pemerintahan ini hanya mampu bertahan selama kira-kira 17 bulan sahaja berbanding dengan tempoh Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

Bagi rakyat Malaysia, berakhirnya pemerintahan ini memberikan gambaran bahawa proses demokrasi di Malaysia masih lagi berlandaskan kepada prinsip yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Seorang Perdana Menteri yang hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat perlu meletakkan jawatan sekiranya permintaannya untuk membubarkan Parlimen tidak diperkenankan oleh YDPA. Percubaan untuk menarik sokongan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain sama ada secara langsung atau tidak langsung seperti tawaran Durian30 atau pun pakej demokrasi yang ditawarkan sendiri oleh Perdana Menteri secara siaran langsung televisyen juga gagal. YDPA pula memberikan gambaran bahawa tidak mungkin baginda akan bersetuju untuk pembubaran Parlimen.

Banyak pengajaran yang boleh rakyat pelajari berkaitan amalan demokrasi pasca pemerintahan BN selepas PRU 14 pada Mei, 2018. Ada orang mendambakan pemerintahan BN yang dianggap stabil selama 60 tahun. Ini tidak pelik kerana pemerintahan yang stabil akan menyebabkan negara lebih aman dan ekonomi lebih berkembang. Namun, pemerintahan BN sebenarnya hampir tamat pada tahun 1999 lagi tetapi melonjak semula pada tahun 2004 selepas Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri. Namun, akhirnya, BN tumbang juga dan digantikan dengan pemerintahan PH. Faktor korupsi seperti 1MDB dan kos sara hidup yang meningkat dengan pengenalan cukai GST hanyalah sebagai impetus kepada kejatuhan BN sedangkan pada hakikatnya perasaan tidak puas hati rakyat sudah lama membengkak.

1MDB yang melibatkan Najib Razak adalah skandal kewangan terbesar dunia, menurut Jabatan Kleptokrasi Amerika Syarikat

Bagi PH pula, mereka telah lama menjadi pihak yang idealis terhadap dasar-dasar kerajaan dan telah memperkenalkan beberapa inisiatif dengan cepat sehingga kadang kala tidak dapat diikuti oleh rakyat. Pada waktu itu, prinsip kebebasan bersuara telah disalahgunakan apabila berita tidak benar telah dibiarkan berleluasa tanpa sebarang tindakan dan sistem komunikasi antara kerajaan dan rakyat sangat lemah. Akhirnya, berlakulah peristiwa tebuk atap apabila PPBM sebagai parti gabungan telah menarik diri daripada PH dan menyebabkan keruntuhan PH.

Hari ini, berakhirnya pemerintahan PN walau pun mereka cuba bertahan tetapi tidak mampu lagi menarik sokongan ahli Dewan Rakyat khasnya daripada UMNO untuk terus menyokong mereka. Perpecahan sokongan antara yang menyokong PN dan yang ingin keluar daripada PN juga tidak mampu ditutup. Pokoknya, PN memerintah dengan majoriti yang sangat tipis semenjak awal pemerintahannya lagi. Pastinya kita masih ingat bagaimana Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof telah dilucutkan jawatan dengan majoriti 113 undi sahaja. Setelah itu, kita melihat bagaimana wujudnya kabinet terbesar dalam sejarah Malaysia dan ahli-ahli politik telah diberikan jawatan GLC semata-mata untuk mengekalkan sokongan.

Kemuncak kegagalan PN adalah apabila pada 26/7/2021, dalam sidang Parlimen, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hasan yang menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) menyatakan bahawa ordinan darurat telah ditarik balik pada 21/7/2021 sedangkan sepatutnya ordinan darurat itu telah dititahkan oleh YDPA untuk dibahaskan dan seterusnya diungkaikan. Kemudian berlakulah peristiwa episod berbalas warkah antara pihak Istana dan Pejabat Perdana Menteri.

Pertukaran kerajaan adalah suatu perkara yang dibenarkan dalam Perlembagaan dan apabila berlaku keadaan sedemikian YDPA sebagai institusi Perlembagaan perlu untuk tidak berpihak kepada mana-mana parti politik. YDPA hanya perlu menurut prinsip Perlembagaan dan ini telah ditegaskan oleh pihak Istana bahawa mereka akan bertindak menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan dalam melantik Perdana Menteri yang baharu.

Pengajaran penting bagi sesiapa yang dilantik menjadi Perdana Menteri selepas ini adalah untuk membawa pendekatan inklusif kepada semua pihak. Idea kerajaan Melayu Islam yang dibawa oleh PN juga tidak berguna dan tidak membawa negara ke hadapan kerana prinsip itu sendiri telah membelakangkan prinsip kewarganegaraan dan masyarakat majmuk.

Setakat ini dua nama yang pasti dicalonkan sebagai calon Perdana Menteri daripada Umno dan Pakatan Harapan

Malaysia ini dibentuk oleh pelbagai kaum dan mana-mana kerajaan yang memerintah perlu memberikan keadilan kepada semua kaum mengikut lunas Perlembagaan. Ini tidak bermakna, kedudukan istimewa kaum Melayu dan Bumiputra boleh tergugat. Dan ini juga tidak bermakna atas nama kedudukan istimewa itu boleh menafikan keadilan kepada kaum lain.

Begitu juga, teori kerajaan minoriti yang pernah diucapkan oleh YB Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum PRU 14 juga terbukti tidak boleh dipakai apabila kerajaan PN ini jatuh bukannya disebabkan oleh PAS menarik diri daripada kerajaan PN kerana mempertahankan dasar PAS tetapi kerajaan PN ini jatuh disebabkan sebahagian ahli Parlimen UMNO menarik sokongannya kepada Perdana Menteri.

Faktor ‘cash is king’ juga tidak berjaya mempertahankan sebuah kerajaan. Mungkin faktor wang ini boleh melonjakkan populariti sebuah kerajaan sebagaimana yang dibuat oleh PN pada Mac 2020 sehinggakan populariti Perdana Menteri itu melonjak sehingga 80%. Namun, ianya tidak mampu bertahan dan wang ringgit tetap akan habis dibelanjakan.

Seperkara lagi, sesiapa yang menjadi kerajaan perlu mewujudkan suasana harmoni dengan semua institusi Perlembagaan seperti institusi YDPA, tentera, polis, Peguam Negara, penjawat awam, kehakiman dan lain-lain. Politik ini bukan semata-mata berkisar di dalam Parlimen sahaja tetapi saling berkaitan dengan semua pihak tersebut.

Justeru, bagi kerajaan yang baharu ini mereka haruslah menjadi kerajaan yang peduli dan inklusif. Kerajaan yang baharu perlu peduli dengan nasib rakyat dan menjadi kerajaan yang adil kepada semua. Kerajaan yang baharu perlu mengamalkan budaya inklusif antara kerajaan dan pembangkang. Zaman kerajaan menekan pembangkang sudah berlalu apabila kerajaan BN jatuh dalam PRU 14. Apa yang diperlukan adalah semua ahli parlimen perlu mengembeling tenaga untuk berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Melihat kepada suasana yang ada pada hari ini, jika model kerajaan PN masih digunakan untuk pembentukan kerajaan baharu dengan ahli Parlimen UMNO yang menjadi Perdana Menteri maka kestabilan tetap tidak akan wujud. Begitu juga, jika Perdana Menteri baharu dilantik daripada PH semata-mata maka kerajaan yang stabil juga sukar untuk wujud disebabkan jumlah sokongan majoriti yang tipis di kedua-dua pihak. UMNO sukar untuk membentuk kerajaan tanpa sokongan daripada rakan PPBM dan PAS. Soalnya, mampukah PPBM menelan kepahitan ini setelah dikhianati oleh UMNO. Apakah jaminannya PPBM tidak berpaling tadah nanti daripada kerajaan yang diketuai UMNO? Mungkin sampai masanya UMNO menilai kembali prinsip No Anwar No DAP.

Sejauh manakah pula Datuk Seri Anwar mampu menarik sokongan daripada ahli Parlimen lain? Ini pastinya menjadi tanda-tanya kerana sepanjang 17 bulan yang lepas belum ada tanda-tanda Datuk Seri Anwar mampu menarik sokongan. Mampukah Datuk Seri Anwar meleraikan kekusutan sokongan ini?

Barangkali, sudah sampai masanya sebuah kerajaan campuran (ada orang menyebut kerajaan perpaduan, namun istilah kerajaan perpaduan ini mungkin tidak wujud dalam kamus Perlembagaan) diwujudkan sehingga sampai PRU 15 dengan masing-masing berpegang kepada prinsip Perlembagaan bagi mewujudkan negara yang stabil dan adil kepada semua berasaskan prinsip musyawarah. Dengan ini juga, langkah-langkah pembaharuan politik dapat diperkenalkan seperti pemberian bantuan kewangan yang sama rata bagi semua kawasan Parlimen, pengenalan Akta Anti Lompat Parti, Akta Pendanaan Politik dan UNDI 18.

 

Dr Zulqarnain Lukman seorang pakar perlembagaan dan pengamal undang-undang sivil dan syariah.