Realtime website trackingweb stats

Bengang ‘company’ paksa buat ‘overtime’ tapi tak bayar? Ini cara halus paksa majikan bayar

Oleh NURAIMAN

Mendapat pekerjaan yang baik, bersamaan dengan majikan dan rakan sekerja yang memahami serta bertimbang rasa, adalah satu bentuk rezeki yang patut disyukuri.

Namun, setiap individu menghadapi rezeki yang berbeza.

Terdapat yang terpaksa berurusan dengan persekitaran kerja yang tidak sihat dan majikan yang tidak mesra, sehingga menyebabkan pekerja terpaksa meninggalkan pekerjaan tersebut.

Walaupun dihadapi dengan cabaran di tempat kerja, ingatlah bahawa setiap pekerja mempunyai hak mereka sendiri dan tidak sepatutnya hak-hak ini dilanggar.

Berikut adalah beberapa hak asas pekerja yang penting untuk anda ketahui:

Bengang 'company' paksa buat 'overtime' tapi tak bayar? Ini cara halus paksa majikan bayar

1) Pampasan pemberhentian kerja

Mengikut portal Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), pekerja yang diberhentikan boleh menuntut pampasan atau faedah penamatan jika mereka dilindungi oleh Akta Kerja 1955 atau Perjanjian Bersama (Collective Agreement).

Secara umumnya, pekerja yang demikian layak untuk menuntut faedah-faedah statutori seperti gaji ganti notis, faedah penamatan kerja, bayaran baki cuti tahunan, dan baki gaji (jika berkenaan).

Pekerja yang terlibat dengan pemberhentian boleh merujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja yang berhampiran untuk mendapatkan penjelasan yang terperinci.

2) Gaji ganti notis

Apabila seorang pekerja dipecat, notis gaji rugi adalah hak yang sepatutnya diberikan mengikut tempoh perkhidmatan. Ini termasuk satu bulan gaji untuk tempoh perkhidmatan kurang daripada 2 tahun, dua bulan untuk tempoh 2 hingga 5 tahun, dan tiga bulan untuk tempoh lebih daripada 5 tahun.

3) Cuti bersalin

Pada Seksyen 37 (Akta Kerja 1955) ada mengatakan bahawa setiap pekerja wanita berhak dapat cuti bersalin untuk tempoh 98 hari berturut-turut dan tertakluk pada Bahagian ini, pekerja itu berhak menerima daripada majikannya elaun bersalin yang dikira atau ditetapkan.

4) Gaji minimum

Gaji minimum adalah gaji pokok sahaja, tidak termasuk apa-apa elaun atau bayaran lain.

Pada 1 Januari 2023, bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja dan selain majikan yang menjalankan aktiviti profesional (MASCO), kadar gaji bulanan untuk pekerja adalah tidak kurang daripada RM1,500.

5) Cuti tahunan berbayar

Setiap pekerja layak mendapat cuti tahunan. Bilangan hari cuti tahunan bergantung kepada tempoh perkhidmatan, iaitu:

– 8 hari untuk pekerja yang bekerja kurang dari 2 tahun

– 12 hari untuk pekerja yang genap 2 tahun bekerja dengan majikan, tetapi kurang dari 5 tahun

– 16 hari untuk perkhidmatan melebihi 5 tahun atau lebih.

6) Cuti sakit (MC) berbayar

Sekiranya anda jatuh sakit, anda layak mendapat cuti bergaji. Menurut Seksyen 6F, Akta Pekerja 1955, pekerja berhak menerima cuti sakit seperti tertera di bawah:

– 14 hari bagi perkhidmatan kurang 2 tahun

– 18 hari bagi perkhidmatan genap 2 tahun tetapi kurang dari 5 tahun

– 22 hari bagi perkhidmatan 5 tahun dan lebih

Sebagai tambahan, jika pekerja memerlukan rawatan di hospital, dia berhak mendapat cuti bergaji tidak melebihi 60 hari.

7) Kerja lebih masa (overtime) berbayar

Overtime adalah hak pekerja, dan bayarannya perlu setimpal:

– OT pada hari biasa 1.5x/perjam

– OT pada hari cuti biasa 2x/perjam

– OT pada Hari Kelepasan Am 3x/perjam

8) Gaji dibayar tepat pada waktunya

Penerimaan gaji adalah hak asas pekerja. Menurut undang-undang, majikan perlu membayar gaji paling lewat 7 hari selepas hari gaji. Ini adalah hak yang perlu dipertahankan.

9) Waktu bekerja yang adil

Sebagai pekerja, anda mempunyai hak untuk bekerja maksimum 45 jam seminggu tanpa mengira waktu rehat. Ini penting untuk memastikan keseimbangan kerja dan hayat yang sihat.

10) Waktu kerja wanita di sektor tertentu

Pekerja wanita di sektor pertanian atau perusahaan tidak boleh bekerja dari 10 malam hingga 5 pagi.

BACA: Kekal segar walau dah berbulan-bulan beli, nelayan kongsi cara simpan makanan laut