Banyak benda terutama peralatan di rumah yang apabila difikirkan semula beria saja beli tetapi gunanya hanya sekali dua.
Dalam keadaan ekonomi tidak menentu dengan jangkaan keadaan lebih parah pada tahun 2023, ada baiknya perbelanjaan yang tidak perlu dielak sama sekali.
Membazir berlaku apabila barang atau peralatan di rumah hanya tersimpan dalam kotak atau almari bahkan mungkin terbiar dalam stor begitu sahaja.
Berikut antara 10 benda tersebut yang mungkin boleh masuk dalam senarai tidak harus beli jika anda belum memilikinya tetapi berkira-kira untuk membeli:
1. Pengisar jus buah
Ramai yang pakai sekali dua sahaja. Akhirnya, guna blender biasa. Mungkin leceh guna pengisar jus buah sebab macam-macam nak kena pasang kemudian buka untuk basuh.
2. Oat
Makan sedikit saja kemudian tak lalu. Walaupun makanan sihat tetapi perut kita yang sudah biasa dengan nasi dirasakan sukar kenyang dengan oat. Tekak pun tak lalu terima.
3. Mesin pembuat ais ketul
‘Terbeli’ kerana pengaruh iklan di TikTok. Walaupun boleh hasilkan ais dalam beberapa minit sahaja tetapi tidak penting pun. Ruang beku dalam peti ais, tu ‘kan dah ada?
4. Air fryer
Alat penggoreng tanpa minyak ini diuar-uarkan dapat menyediakan hidangan yang lebih sihat. Tapi kalau guna sosej atau nuget guna air fryer pun tetap tidak juga sihat.
5. Slow cooker
Periuk memasak ini memang memasak secara perlahan. Masalahnya, orang kita sekarang serba-serbi mahu cepat. Akibatnya, beli saja dan masih untunglah jika pernah juga pakai.
6. Oven
Angan besar konon mahu buat pizza atau kek untuk anak-anak tapi tak mahu pula dapur jadi ‘kapal karam’. Sudahnya, beli pizza di restoran makanan segera atau pergi kedai kek.
7. Alat pembuat roti
Rasanya, nasib bread maker ini paling tragis. Ada yang beria beli dengan impian besar mahu buat roti sendiri tetapi bertahun dalam kotak macam ketika sampai ke rumah dulu!
8. Set BBQ grill
Peralatan yang mungkin turut ‘tersorok’ dalam kotak di rumah anda. Bukan sedikit yang ‘malas’ untuk guna walaupun ada yang non-stick. Jadi, ‘lebih mudah’ disimpan saja.
9. Mesin basuh mini
Beria beli lengkap dengan ciri pengering. Namun, ada yang pakai sekali, dua terus simpan sebab dah biasa cuci dalam kuantiti banyak dengan mesin basuh biasa.
10. Insurans
Tidak pernah membazir tetapi ramai ‘takut’ dan berharap tidak perlu guna. Penyakit atau malang tidak berbau. Kos perubatan yang mungkin boleh mencecah puluhan ribu ringgit ditanggung oleh pihak insurans.
Baca :
Boleh cuba ‘healing’ di peparu hijau KL, hutan tengah bandaraya rupanya hanya di Malaysia
Vietnam berdepan krisis, para lelaki sukar dapatkan pasangan