Belanjawan 2026 fokus kebajikan rakyat kawal hutang negara

Oleh Ahmad Fahmi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa Belanjawan MADANI Keempat yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini bukan sekadar melibatkan angka dan perbelanjaan semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, belanjawan itu menggambarkan hala tuju kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan tanpa menambah beban hutang negara.

“Belanjawan MADANI bukan hanya tentang angka, tetapi tentang memastikan kerajaan terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.
Saksikan pembentangan Belanjawan MADANI 2026 secara langsung di semua saluran televisyen dan platform digital utama,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, dijadual membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada jam 4 petang ini.

Belanjawan ini merupakan yang keempat di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) — menjadikannya asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Dalam taklimat bersama editor media di Putrajaya pada Rabu lalu, Anwar menjelaskan bahawa Belanjawan MADANI Keempat akan memberi tumpuan kepada usaha membela rakyat, memperkukuh ekonomi serta memperteguh asas negara yang mampan dan inklusif.

Menurut takwim Dewan Rakyat, perbahasan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat dasar akan berlangsung selama lapan hari selepas pembentangan hari ini.

Sesi penggulungan oleh kementerian dijadual diadakan antara 29 Oktober hingga 4 November, diikuti perbahasan peringkat Jawatankuasa dari 5 hingga 27 November, sebelum diluluskan oleh Dewan Rakyat.