Bekas Setpol Kanan PM Didakwa Terima Suapan RM176,829, Mengaku Tidak Bersalah

Oleh Admin 06

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan rasuah yang melibatkan nilai keseluruhan RM176,829.03 berkaitan proses kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Mengikut pertuduhan pertama dan ketiga, Shamsul, 51, didakwa bersetuju menerima suapan berjumlah RM140,000 daripada seorang ahli perniagaan, Tei Jiann Cheing. Suapan itu dipercayai bertujuan membantu syarikat yang mempunyai kaitan dengan individu berkenaan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 7 Disember 2023 serta pada 29 dan 31 Januari 2024 di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan kedua dan keempat, beliau dituduh memperoleh kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM36,829.03 daripada individu sama, bagi tujuan yang sama. Perbuatan itu didakwa berlaku pada 7 Disember 2023 dan 31 Januari 2024 di lokasi sama di Bukit Bandaraya, manakala sebahagian lagi pada 26 Februari dan 5 Mac 2024 di Presint 14, Putrajaya.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan, mencadangkan ikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin serta menetapkan syarat tambahan: pasport diserahkan kepada mahkamah, tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan, dan tidak mengganggu saksi.

Bagaimanapun, peguam bela Joshua Tay memohon jaminan RM50,000, memaklumkan bahawa anak guamnya mengalami masalah kesihatan serius dan akan memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang prosiding.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Suzana Hussin menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM150,000 berserta tiga syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.