Bekas Panglima Tentera Darat, Isteri Berdepan Pertuduhan Rasuah dan Pengubahan Wang Haram

Oleh ABDULLAH HAMID

KUALA LUMPUR: Seorang bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Hafizuddeain Jantan bersama isterinya, Salwani Anuar, dijadualkan dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur hari ini berkaitan kes pengubahan wang haram.

Kedua-dua tertuduh akan menghadapi empat pertuduhan masing-masing mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Hafizuddeain yang berusia 58 tahun turut akan didakwa dengan dua pertuduhan tambahan di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, Selangor, esok. Sementara itu, isterinya dijadualkan menghadapi satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin ini.

Kes berkenaan susulan penahanan bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu bersama dua isterinya oleh SPRM pada 7 Januari lalu berhubung siasatan projek perolehan tender Tentera Darat. Hafizuddeain kemudiannya direman selama tujuh hari, manakala kedua-dua isterinya direman selama tiga dan enam hari.

Dalam satu sidang media sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan pihaknya telah menyita barangan bernilai kira-kira RM11.4 juta dari dua kediaman milik bekas PTD itu, termasuk sebuah rumah rahsia di Kuala Lumpur.

Selain itu, SPRM turut melakukan rampasan di sebuah rumah di Besut, Terengganu serta membekukan 75 akaun syarikat dengan jumlah keseluruhan RM32.5 juta.

Siasatan awal kes tersebut bermula apabila SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember lalu bagi meneliti beberapa projek perolehan Tentera Darat yang dilaksanakan sejak 2023.

Pada 11 Januari lalu, seorang pegawai pengurusan tertinggi ATM turut dirakam keterangan untuk membantu siasatan, sebelum seorang lagi pegawai kanan ATM ditahan pada 14 Januari berkaitan dakwaan kartel projek tender perolehan Tentera Darat.