Bekas Ketua Perisikan Pertahanan Didakwa Terima Suapan AS$20,000, Biayai Tiket Penerbangan Isteri

Oleh ADINDA

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Mohd Razali Alias, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan melibatkan wang tunai AS$20,000 serta pembayaran tiket penerbangan bernilai RM64,600 untuk isterinya, dua tahun lalu.

Mohd Razali, 60, yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO), bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Saya faham pertuduhan dan mengaku tidak bersalah serta memohon untuk dibicarakan,” katanya.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang suapan AS$20,000 daripada Pengarah Intelligence PC Centre Sdn Bhd, Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A Rahman, 45, di pejabat MDIO, Kem Kementah, Jalan Padang Tembak, antara Ogos hingga November 2024.

Wang itu didakwa sebagai dorongan supaya beliau, selaku Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan ATM, meluluskan sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan berkaitan pembayaran Perolehan Perkhidmatan Senggaraan dan Sokongan Sistem Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan.

Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Razali didakwa menerima manfaat untuk isterinya, Azarina Bakia, 59, berupa bayaran RM26,800 bagi pembelian tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur–Malaga, Sepanyol tanpa sebarang balasan, walaupun beliau mengetahui ia berkait dengan tugas rasminya.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 15 November 2024 di lokasi sama, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima pembayaran RM37,800 untuk tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur–Estonia bagi isterinya pada 28 April 2025, juga tanpa balasan daripada individu sama dan berkaitan dengan tugas rasminya.

Kes itu turut didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dengan hukuman serupa.

Terdahulu, Mohd Razali tiba di Mahkamah Khas Rasuah pada jam 8.35 pagi dengan mengenakan sut coklat dan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan bahawa dua lagi pegawai kanan ATM bergelar Datuk dijangka akan didakwa atas pertuduhan rasuah dalam tempoh terdekat.