KUALA LUMPUR, 1 Apr – Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan minyak negara berada pada tahap stabil dan mencukupi, sekali gus memastikan mekanisme subsidi bahan api dapat diteruskan tanpa membebankan rakyat.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, hasil perbincangan bersama Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) serta syarikat minyak lain menunjukkan bekalan sedia ada mampu menampung keperluan negara untuk tempoh sekurang-kurangnya sebulan atau lebih.
Menurut beliau, isu harga bahan api merupakan antara perkara yang diberi perhatian serius dan memerlukan pendekatan berasaskan fakta serta ketelusan dalam pelaksanaan dasar.
“Keputusan berkaitan RON95 dibuat selepas mengambil kira data dan perbincangan menyeluruh. Keutamaan kerajaan adalah memastikan rakyat tidak menjadi pihak yang menanggung beban,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Ilmuan Malaysia MADANI Siri 9 malam tadi yang turut menampilkan barisan panel ekonomi termasuk Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan; Gabenor Bank Negara Malaysia, Abdul Rasheed Ghaffour serta Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelarasan kuota petrol RON95 bersubsidi kepada 200 liter sebulan bermula 1 April, berbanding 300 liter sebelum ini, manakala harga dikekalkan pada RM1.99 seliter.
Dalam masa sama, Anwar Ibrahim memaklumkan beberapa siri perbincangan turut diadakan bersama pasukan ekonomi kerajaan bagi merangka langkah lanjutan yang mampu melindungi kepentingan rakyat dalam jangka sederhana dan panjang.
Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran utama adalah mendapatkan sokongan menyeluruh dalam sistem demokrasi yang pelbagai pandangan.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menyeru semua pihak agar mengetepikan perbezaan politik dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara serta merangka dasar yang dapat membantu Malaysia berdepan ketidaktentuan geopolitik global.
“Kita perlu bersama-sama mencari penyelesaian yang dapat meringankan beban rakyat dan memastikan kestabilan ekonomi terus terpelihara,” katanya.