Bekalan barangan Aidilfitri mencukupi, orang ramai dinasihat elak pembelian panik

Oleh Admin 06

AMPANG – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik menjelang Aidilfitri kerana bekalan barangan keperluan di negara ini berada pada tahap mencukupi.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bahawa persiapan awal telah dilakukan bagi memastikan bekalan barangan mencukupi sepanjang musim perayaan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kementerian sentiasa memantau kedudukan bekalan melalui kerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta penglibatan pihak pemborong, pengeluar dan peruncit.

Menurut beliau, orang ramai tidak perlu bimbang kerana bekalan yang ada bukan sahaja mencukupi untuk sambutan 1 Syawal, malah mampu menampung permintaan sepanjang tempoh perayaan termasuk penganjuran rumah terbuka.

“Di peringkat KPDN, kita akan terus memantau bekalan. Saya ingin memberi jaminan kepada orang ramai supaya tidak bimbang atau melakukan pembelian panik menjelang perayaan ini.

“Bekalan bukan sahaja mencukupi untuk sambutan 1 Syawal, malah mencukupi walaupun majlis rumah terbuka diadakan sepanjang tempoh perayaan kerana bekalan itu sudah berada dalam negara,” katanya pada sidang media mengenai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Aidilfitri di Ampang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan kesan ketegangan konflik di Asia Barat terhadap bekalan barangan di Malaysia.

Armizan menjelaskan bahawa berdasarkan pembentangan dalam Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), bekalan bagi beberapa barangan utama ketika ini berada pada tahap lebihan.

Dalam pada itu, beliau berkata KPDN akan terus bekerjasama dengan KPKM dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi mengenal pasti barangan yang berpotensi terjejas sekiranya konflik berlarutan.

Langkah itu termasuk usaha mencari sumber bekalan alternatif sekiranya berlaku gangguan eksport dari negara tertentu.

Mengulas isu kenaikan harga sayur-sayuran akibat faktor cuaca, Armizan berkata beberapa jenis sayur utama telah dimasukkan dalam senarai SHMMP Aidilfitri bagi membantu menstabilkan harga di pasaran.

Beliau turut memaklumkan kerajaan akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri 2026 selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac ini bagi memastikan harga barangan keperluan kekal terkawal sepanjang tempoh perayaan.