Pelawak tersohor, Zizan Razak tahun depan bakal menjejak usia 40 tahun. Pelakon berasal dari Terengganu itu rupanya cukup menjaga pemakanan.
Beliau mengawal pengambilan gula dalam makanan harian dan tidak makan berlebihan jika berat badan naik.
Dalam masa sama, aktor Polis Evo 2 itu juga sudah lama aktif bersenam di gimnasium jika tidak sibuk di lokasi penggambaran atau menguruskan perniagaan.
Sejak negara dilanda pandemik Covid-19, bersenam sudah menjadi aktiviti wajib setiap hari pelakon berkenaan.
“Tetapi, apabila sudah kembali sibuk, saya tiada masa yang tetap untuk pergi ke gimnasium. Namun, sekurang-kurangnya saya kena buat 100 ‘push up’.
“Kalau bercakap mengenai jurulatih peribadi, saya perlukan individu yang cergas atau ‘fit’,” katanya, dipetik BH yang menghabiskan masa antara dua hingga tiga jam di gimnasium.
Zizan menjadikan beberapa aktor Bollywood dan Hollywood sebagai idola memandangkan mereka memiliki tubuh ideal biarpun sudah menjangkau usia 40-an dan 50-an.
“Saya rancang dapatkan bentuk badan yang ideal dan sasa seperti pelakon lelaki di Bollywood dan Hollywood.
“Tengok sahaja Datuk Shah Rukh Khan, Aamir Khan, John Abraham, Tom Cruise atau Brad Pitt.
“Mereka adalah idola saya. Mereka sihat, awet muda dan mempunyai badan yang cantik walaupun usia masing-masing semakin meningkat.
“Kelebihan itu membuatkan mereka masih mendapat tawaran berlakon watak utama selain kekal relevan dalam industri seni.
“Saya mahu mengikuti jejak langkah semua hero itu… InsyaAllah. Itu menjadi antara azam dan sasaran saya tahun depan,” katanya.
Pemilik syarikat ZR Project itu bagaimanapun berkata, beliau mahu menyelesaikan dahulu segala perancangan dan tugasan yang sudah disusun lebih awal sepanjang tahun ini, sebelum fokus mendapatkan bentuk badan diinginkan itu.
Baca:
Projek penempatan manusia di bulan menjelang 2040, ini kemajuan NASA yang diketahui setakat ini
Lelaki kongsi cerita lihat kera bewarna putih bersama tuan berjubah, beruk berdiri seperti manusia