Realtime website trackingweb stats

“Bagus orang Selangor, tak makan wang haram” – MAIS puji tindakan salur RM1.8 juta wang haram ke baitulmal

Oleh SHAZLIN AZIZ

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menganggarkan jumlah wang yang diperoleh secara tidak patuh syariah melalui aktiviti seperti penjualan barang curi, rasuah, rompakan, judi, dan perlindungan insurans konvensional mencecah RM2.5 juta.

Kutipan ini menunjukkan peningkatan kesedaran di kalangan ramai, khususnya dalam mencari rezeki yang halal.

Jumlah kutipan pada tahun lalu adalah sebanyak RM1.8 juta, meningkat daripada RM1.5 juta pada tahun 2021.

Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof, Pengerusi MAIS, mengumumkan bahawa sejak Januari ini, kutipan wang sebanyak RM1.67 juta telah diperoleh melalui Baitulmal MAIS, melibatkan kira-kira 1,000 orang.

“MAIS berharap agar masyarakat mempunyai kesedaran yang tinggi dalam memastikan setiap aktiviti atau perniagaan yang diceburi adalah bertepatan dengan hukum syarak.

“Wang sedemikian diperoleh daripada sumber yang haram seperti transaksi riba, hasil jualan barang curi, duit rasuah, hasil rompakan, duit loteri dan perlindungan insurans konvensional.

“Saya sedar wang sebegini masih banyak, salurkan kepada Baitulmal untuk dilupus mengikut syariat,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Sebelum ini, beliau telah merasmikan Seminar Harta Halal Harta Berkat dan melancarkan Kempen Bulan Kesedaran Penyaluran Wang yang Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal MAIS 2023.

“Sehubungan dengan itu MAIS hari ini melancarkan sebuah kempen yang dinamakan Kempen Bulan Kesedaran Penyaluran Wang Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal MAIS bagi memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mengurus harta secara bijaksana sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak,” ujarnya.

Menurut Abdul Aziz, melalui kempen yang akan bermula pada 15 November hingga 13 Disember ini, MAIS menjemput semua orang untuk membersihkan harta yang diperolehi supaya kehidupan yang dijalani dipenuhi dengan keberkatan.

Beliau turut menyatakan bahawa wang yang diterima daripada usaha ini boleh digunakan untuk manfaat umum seperti bantuan pendidikan, perubatan, dan pembinaan infrastruktur.

 

Baca :

Ini reaksi bapa Along Spoon selepas pembunuh sudah bebas, kronologi kes mendebarkan 

“Ini pengalaman indah yang cukup berharga” – Mimi Lana sumbang untuk Gaza 

Membela rakyat susah, ada kata Anwar membosankan, ini pandangan bekas wartawan era 1990-an