Ayda Jebat tunjuk skil lincah menari dengan perut boyot 7 bulan, macam silap pakaian la pulak.
Tindakan pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat mejayakan persembahan bertenaga di acara Absolut Food Fest 2023 pada malam Sabtu mencuri tumpuan ramai di media sosial.
Ini kerana Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat sedang hamil cahaya mata kedua dengan usia kandungan mencecah tujuh bulan namun masih mempamerkan aksi lincah menari di atas pentas.
Pengguna aplikasi TikTok, @poojapalatao dan akaun Instagram @__luqmnn ada memuat naik beberapa rakaman memperlihatkan Ayda menyanyikan lagu Nakal Nakal Nakal, Temberang selain Gangnam Style nyanyian asal PSY.
Susulan aksi penuh bertenaga, segelintir individu meluahkan rasa bimbang sekiranya berlaku perkara tidak diingini terhadap bayi dalam kandungan penyanyi berusia 31 tahun itu.
Walau bagaimanapun, rata-rata netizen lebih menegur penampilan Ayda yang dikatakan kurang sesuai sebagai ibu hamil kerana mengenakan baju nipis berwarna hitam sehingga menampakkan bentuk tubuhnya.
Video:
“Jangan risau, semuanya terkawal.”
Itu respons penyanyi dan pelakon Ayda Jebat selepas video memaparkan dia yang kini sarat hamil lima bulan ligat menari di sebuah festival makanan di Bukit Jalil baru-baru ini.
Menurut Ayda atau nama penuhnya, Nur Suhada Jebat, 31, sebagai wanita yang sedang hamil, dia menyedari semua risiko dan tidak akan sesekali melakukan sebarang aksi yang boleh membahayakan kandungannya.
“Semuanya okey dan berada dalam keadaan terkawal dan tidak tergamak hendak buat sesuatu yang boleh membahayakan nyawa diri serta kandungan.
“Saya tak sangka begitu ramai yang ambil berat dan risau keadaan diri saya. Insya-Allah selepas ini akan lebih berhati-hati.
“Apabila membaca komen saya terus rasa bersalah dan memikirkan semula bahawa tidak sepatutnya beraksi selincah itu.
“Alhamdulillah saya dan bayi semuanya baik-baik saja. Terima kasih kepada semua yang mengambil berat dan mendoakan kebaikan saya dan anak dalam kandungan,” ujarnya.
Terdahulu pada 25 Julai lalu, Ayda dan suaminya, Nabil Mahir mengumumkan bakal menimang cahaya mata kedua.
Ayda mendirikan rumah tangga dengan Nabil pada 1 Januari 2021 dan dikurniakan anak pertama, Ana Nayla, 2, pada 21 September tahun yang sama.