Ayam percik Kelantan naik harga. Setiap kali Ramadan menjelma, ayam percik menjadi antara hidangan yang wajib ada di atas meja berbuka. Namun, tahun ini, peniaga di Kelantan berdepan dilema apabila harga santan yang semakin meningkat memberi kesan kepada kos penyediaan makanan tersebut.
Harga Ayam Percik Masih Bertahan, Tapi Sampai Bila?
Walaupun permintaan terhadap ayam percik tinggi, para peniaga masih mengekalkan harga sekitar RM9 hingga RM10 seketul. Namun, jika harga santan terus melonjak, mereka tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga jualan.
Menurut laporan Berita Harian, peniaga seperti Wan Marini Muhamad Nazi, 42, mengakui mereka masih bertahan walaupun keuntungan semakin berkurangan.
“Kita kasihan pada pelanggan, sebab itu masih cuba kekalkan harga. Tapi kalau betul harga santan naik sehingga RM20 sekilogram, kami terpaksa naikkan harga ayam percik juga. Kita juga perlu fikir keuntungan dan gaji pekerja,” katanya.
Peniaga Lain Juga Hadapi Dilema
Seorang lagi peniaga, Hamidah Saat, 45, turut meluahkan kebimbangan yang sama.
“Saya jual ayam percik RM10 seketul sekarang, tapi kalau harga santan terus naik, memang susah nak bertahan. Saya harap tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati kerana ia akan menyusahkan kami sebagai peniaga kecil,” katanya.
Bekalan Kelapa Berkurangan, Harga Santan Dijangka Melambung
Sebelum ini, para peniaga santan di Kelantan sudah menyuarakan kebimbangan mengenai bekalan buah kelapa yang semakin berkurangan. Situasi ini menyebabkan harga santan naik mendadak sejak Disember lalu – daripada RM9-RM10 sekilogram kini meningkat kepada RM17-RM18.
Malah, menjelang Ramadan, harga santan dijangka mencecah RM20 sekilogram jika bekalan buah kelapa masih tidak mencukupi.
Jika ini berterusan, bukan sahaja ayam percik, tetapi banyak juadah berbuka berasaskan santan seperti gulai, rendang, dan kuih-muih juga mungkin akan mengalami kenaikan harga.
Persoalannya, adakah pembeli sedia menerima harga ayam percik yang lebih mahal, atau peniaga akan terus menanggung kerugian demi mengekalkan pelanggan? Ramadan tahun ini mungkin menjadi cabaran besar bagi peniaga makanan tradisi di Kelantan.
BACA LAGI :
“Ramai tanya harga barang bila nak naik, saya kata kenapa nak naik ini jawapan Bos Mydin
Perasan tak harga barang online naik sikit sejak minggu ni, rupanya undang-undang baharu 2024