Realtime website trackingweb stats

Awas! Simptom bengkak atau benjolan mungkin tanda awal kanser NPC

Oleh ADINDA

Seramai 4,597 pesakit telah direkodkan dalam tempoh empat tahun, menjadikannya dalam kelompok lima tertinggi bagi penyakit kanser di Malaysia.

Ini berdasarkan data Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia (2012-2016), di mana kanser yang bermula di kawasan belakang hidung semakin menjadi kebimbangan.

Profesor Dr Irfan Mohamad, seorang pakar dalam bidang Otorinolaringologi – Surgeri Kepala dan Leher (ORL-HNS) dari Universiti Sains Malaysia (USM), menyatakan bahawa kebanyakan pesakit lambat sedar bahawa mereka mengalami gejala kanser kerana ia tidak mudah dilihat dengan mata biasa.

Awas! Simptom bengkak atau benjolan mungkin tanda awal kanser NPC

“Kebiasaannya, pesakit akan mengalami simptom seperti bengkak atau benjolan di leher melebihi dua minggu dan semakin membesar, kurang pendengaran atau telinga berdengung (simptom kurang pendengaran jenis konduktif) untuk tempoh yang lama.

“Selain itu, pandangan juga menjadi kabur atau berganda (double vision), hidung berdarah, tersumbat atau mengeluarkan cecair lendir dari hidung yang bercampur darah serta air liur yang bercampur darah.

“Pesakit yang mempunyai tanda-tanda ini biasanya akan dirujuk kepada pakar untuk melakukan pengesahan dengan menjalani pemeriksaan endoskopi ke dalam rongga hidung. Sedikit sampel tisu untuk pemeriksaan histopatologi diambil daripada kawasan nasofarinks,” katanya.

Dr Irfan menyatakan bahawa ketumbuhan atau sel kanser biasanya berada di bahagian belakang hidung di nasofarinks (ruang belakang tekak di pertemuan antara hidung dan mulut) yang merupakan tempat yang penting (termasuk tulang tengkorak, pelbagai saraf kranial, lantai otak, telinga, dan mata), yang memudahkan kanser merebak ke kawasan tersebut.

“Bagi mengenal pasti kawasan rebakan sel kanser ini, pengimejan seperti ‘Computed Tomography’ (CT) scan akan dilakukan untuk membantu diagnosis yang lebih tepat serta kawasan yang sudah terkesan dengan perebakannya sama ada kawasan sekitar atau bahagian yang lebih jauh seperti tulang belakang, hati atau paru-paru.

“Selepas mengenal pasti kawasan rebakan sel kanser, rawatan akan dimulakan ke atas pesakit dan kebanyakan pesakit yang menghidap kanser nasofarinks dirawat tanpa membabitkan pembedahan,” katanya.

Dia menyatakan bahawa terdapat pelbagai faktor risiko yang menyebabkan kanser nasofaring berlaku, terutamanya pada individu berusia antara 40 hingga 60 tahun, terutamanya lelaki, dan juga individu yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser atau kanser nasofaring.

“Selain itu, asosiasi dengan virus ‘Epstein Barr’ juga berkait rapat dengan kanser ini dan saringan virus berkenaan boleh dibuat bagi mereka yang berada dalam golongan berisiko.

“Bagaimanapun, kanser ini paling kerap berlaku dalam kalangan kaum Cina, malah terdapat juga laporan kajian yang menunjukkan trend bagi penyakit kanser ini sedikit tinggi dalam kalangan kaum Bidayuh di Sarawak,” katanya.

Baca:

Sedang berusaha ke arah lebih baik, Norreen Iman kini lebih sopan dengan imej baru

Bercuti pada hari bekerja, biar betul? Ikut cara ini, mudahkan perjalanan anda

Lautan manusia kerumun TRX demi David Beckham, disambut dengan sorakan meriah