Realtime website trackingweb stats

‘Awak bukan dari perut mama’, makbul betul doa di Makkah, kisah wanita ini buat mata masuk habuk pula

Oleh ADINDA

‘Awak bukan dari perut mama’, makbul betul doa di Makkah, kisah wanita ini buat mata masuk habuk pula.

Aali Fairel, anak tunggal saya berumur 5 tahun, selalu bertanyakan soalan yang kadangkala sukar untuk saya jawab.

“Apa? Adik bukan keluar dari perut mama?” Soalnya, bukan main terkejut dia bila tahu dia bukan dari perut mama dia.

“Iya. Awak bukan dari perut mama.” saya jawab sambil mengusap rambutnya.

“Oh, adik tau! Adik dari perut Mommy. Nanti adik check perut Mommy.” katanya girang.

Bagi Aali, saya ni Mama dia.
Mommy tu pula, itu kakak saya, ibu susuan dia.

Itulah hakikat. Saya bukan ibu kandung Aali Fairel, tapi saya tetap satu-satunya Mama dia.

Hari ini mungkin dia belum memahami, tetapi bila dia sudah besar nanti, barangkali dia akan faham dan saya harapkan dia terima takdir kami.

Sebenarnya, kami bertemu dalam keadaan yang paling saya tak sangka.

16 Mei 2018 adalah tarikh keramat yang tak mungkin kami lupa.

Jam 6.00 pagi, telefon suami berdering. Berderau rasa hati teringatkan nenek di bawah jagaan mak. Takut kalau-kalau terjadi sesuatu pada nenek.

Suami mengangkat telefon. Saya tidak tahu apa yang dibualkan.

“Kenapa Bi? Nenek ok ke?” Tanya saya dengan mata separuh terbuka.

“Nenek ok sahaja. Tapi mak suruh balik petang ni juga.”

“Kenapa nak balik petang ni juga?”

“Mak jumpa bayi dalam kotak dekat surau Abah. Dia cakap apa pun jadi, kita kena ambil budak tu”. Suami saya sambung baring selepas itu. Masih mengantuk barangkali.

Mendengar mengenai bayi yang dijumpai Mak, saya terus melompat bangun. Saya paksa dia bersiap. Kami bergerak dari rumah terus ke rumah Mak dan Abah.

Di pertengahan jalan, Abah menelefon suami saya.

Dia arahkan kami terus ke klinik kerana bayi itu sudah dibawa ke klinik. Diiringi dengan pegawai polis.

Setibanya kami di klinik, saya terus meluru pada bayi yang dipangku jururawat.

“Nurse, saya ibu angkat dia. Dia dah dimandikan? Ada luka-luka?” Soal saya secara spontan. Semua tercengang bila saya mengaku begitu.

“Dah siap dik. Alhamdulillah tiada luka. Tapi, kita kena hantar ke hospital sementara adik selesaikan urusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.”

Saya melihat wajah bayi itu. Subhanallah. Suci. Tenang. Tiada langsung tangisan. Kulitnya putih. Rambutnya halus. Dahinya luas. Dia tidur, barangkali sedang dibuai mimpi indah.

Ketika itu air mata saya berlinangan. Tak putus-putus di dalam hati saya sebut Alhamdulillah. Segala masalah hilang ketika melihat dia.
Dengan penuh kasih sayang, saya mendakapnya.

“Jangan risau ok? Mama dah datang untuk awak.” bisik saya sebelum Aali diambil semula oleh jururawat.

Aali kemudiannya dibawa ke hospital. Agak lama dia di hospital. Seminggu. Saya mula tak keruan di rumah.

Saya setelah itu menguruskan dokumentasi dan juga hadir temuduga dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebelum permohonan kami untuk menjaga Aali diluluskan pada 22 Mei 2018.

Kami akhirnya terima Aali Fairel di hadapan Majistret di Mahkamah Majistret. Dia akan dibawa dari hospital.

Menanti dia sampai dari hospital buat kami resah. Satu saat terasa seperti sejam! Jantung saya berdegup laju.

Hari itu hari kemenangan untuk kami.

Alhamdulillah, semua yang ada menangis kegembiraan bersama kami. Orang lain sambut anak di hospital, tapi kami sambut anak di mahkamah.

Saya percaya ada sebab ibu atau bapanya tinggalkan dia. Cuma, saat ini saya belum kuat sekiranya mereka hadir dan mengaku ibu bapa Aali. Biarlah. Tunggulah 20 tahun lagi, macam dalam Jejak Kasih tu. πŸ˜†πŸ˜†

Pusing ke belakang, sebenarnya, ada cerita kelakar sebelum kehadiran Aali dalam hidup saya.

Mak dan Abah mentua saya pergi Haji tahun 2017, dan biasalah doanya tentu panjang untuk menimang cucu. Maklumlah, kami dah 6 tahun berkahwin waktu itu dan belum dikurniakan rezeki.

Ketika di tanah suci, mak tidak mendoakan minta saya mengandung.

“Mak doa apa?” saya tanya pada mak.

“Mak minta supaya Allah SWT bagi Awin dan Along anak.” Itu jawab mak bila saya tanya sebaik dia pulang ke tanah air.

Ditakdirkan tuhan, balik sini cukup setahun, Allah SWT kabulkan terus doa mak.

Subhanallah! Alhamdulillah! Allahuakbar!

Entah dari mana, Tuhan mentakdirkan Aali hadir mewarnai hidup saya dan suami.

Rupanya, ada juga pengajaran bila berdoa dekat Allah SWT, doa kita kena jelas.

Kalau nak mengandung, mintak nak mengandung. Nak kaya, mintak nak kaya. Ha, nak anak, kan tuhan bagi anak. πŸ˜…

Apa pun kan, sejak Aali Fairel hadir dalam hidup saya, dialah yang banyak melorongkan saya berbuat banyak perkara baik. Tanpa dia, mungkin jalan hidup saya berbeza.

Cuma itulah, setiap hari Aali ni lepas solat, dia akan berdoa., kuat dia baca. Nak bagi saya dengar barangkali.

Tau apa doa dia?

“Ya Allah Ya Tuhanku, janganlah bagi Mama saya baby. Jadikan saya sahaja baby Mama.”
😭😭😭😭

P/s :Kepada sesiapa di luar sana yang memerlukan bantuan berkaitan dokumentasi anak angkat, kami sedia membantu. Insya-Allah, tuhan akan permudahkan.

Baca:

Jet menjunam dari langit, ketika jasad lain berkecai, ini keadaan jenazah penunggang pekerja p-hailing

Ingat dapat ayam McD rupanya roti sahaja, murid kecewa discam jabatan pendidikan negeri

Wajib tahu lokasi kedai nasi kandar jual pakej sekali ulat, mujur β€˜kak long’ ni tolong dedah