Astro semakin lemah dan rugi. Ini punca kerugian yang melanda Astro…
Mungkin zaman kemasyuran pengendali siaran satelit berbayar Astro sudah semakin tiba ke zaman kemundurannya. Sebelum ini, ia menjadi lambang kemewahan sehinggakan jika pemohon bantuan zakat yang memiliki astro di rumah pun akan ditolak permohonannya kerana dianggap berkemampuan.
Langganan dan hasil iklan yang lemah terus menjejaskan Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) apabila prestasi suku pertama tahun kewangan 2024 berada di bawah jangkaan, demikian menurut penganalisis.
Penganalisis Kenanga Research, Teh Kian Yeong, berkata kelemahan prestasi kewangan pada suku berkenaan berbanding setahun lalu adalah disebabkan oleh gabungan penguncupan pendapatan dan perbelanjaan operasi lebih tinggi, yang melebihi rangsangan diterima daripada cukai yang lebih rendah.
“Seperti yang dinyatakan di atas, pendapatan diseret oleh kelemahan pada segmen televisyen, manakala segmen radio gagal menarik perhatian dengan keuntungan sebelum cukai yang mendatar.
“Daripada taklimat bersama penganalisis yang diadakan, Astro optimistik dengan daya tarikan perkhidmatan penstriman, sooka yang baharu bagi menarik pelanggan muda.
“Syarikat mengunjurkan bahawa ini akan membolehkan Astro untuk berkembang menjangkaui daripada asas legasi syarikat, terutamanya terdiri daripada generasi lebih tua. Oleh itu, kumpulan akan fokuskan sumber untuk meningkatkan perkhidmatan baharu ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Astro melaporkan bahawa keuntungan bersihnya menjunam 84.11 peratus kepada RM15.9 juta pada suku pertama berakhir 30 April 2023, daripada RM100.02 juta, apabila perolehan terkesan oleh kerugian tukaran asing belum direalisasi lebih tinggi.
Pendapatan merosot 7.38 peratus kepada RM891.13 juta daripada RM962.09 juta pada suku pertama 2023, kebanyakannya berpunca daripada penurunan dalam hasil langganan, pengiklanan dan jualan barang dagangan.
Mengulas lanjut, Kian Yeong berkata, Astro turut optimis terhadap kadar langganan tawaran jalur lebar baharunya yang menggalakkan.
“Ini disokong oleh pertumbuhan dua angka yang kukuh sebanyak 28 peratus dalam tempoh setahun untuk asas pelanggan Astro Fibre. Pada suku pertama 2024, liputan telah diperluaskan untuk mencapai 118,000 tambahan rumah di Sabah melalui perkongsian Astro dengan Celcom Timur. Ini menambah kepada bilangan enam juta rumah sedia ada dengan kerjasama Telekom Malaysia.
“Bagaimanapun, Astro percaya bahawa pendapatan untuk segmen beli-belah rumahnya akan kekal suram memandangkan halangan yang berterusan, termasuk peningkatan inflasi dan kadar faedah.
“Oleh itu, pendapatan kukuh yang dicapai semasa tempoh pandemik tidak akan berulang menuju ke hadapan. Ini sepadan dengan jangkaan ramalan tahun kewangan 2024 kami bahawa pendapatannya akan jatuh lebih separuh berbanding tahap tahun kewangan 2021,” katanya.
Penganalisis RHB Research, Jeffrey Tan, pula berkata masalah Astro telah pun sangat diketahui dengan isu struktur dan tekanan inflasi yang memuncak terus menyukarkan kumpulan untuk menyerap penurunan hasil langganan.
“Kami merasakan pemangkin yang berpotensi untuk menarafkan semula (saham Astro) adalah daripada langkah pemegang saham utama untuk menjadikannya syarikat persendirian,” katanya.