Penyakit jantung atau kardiovaskular adalah penyebab kematian paling tinggi dilaporkan di hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
Bagaimana penyakit ini boleh menyerang? Puncanya apabila saluran darah menjadi sempit akibat pengumpulan plak kolesterol yang mengakibatkan bekalan darah ke jantung tidak mencukupi.
Pegawai perubatan, Dr Munirah Hishamshah lapor Astro Awani berkata, jantung tidak dapat menjalankan fungsi mengepam darah ke seluruh badan terutamanya organ kritikal seperti otak di mana akhirnya akan menyebabkan kematian jika ia tidak dirawat dalam kadar yang segera.
Menurutnya, penyakit ini tidak mengenal usia lantaran melihatkan kebanyakan kes kematian akibat sakit jantung juga menyerang golongan muda.
“Kebelakangan ini, faktor stres juga dilihat sebagai punca serangan jantung dan kebarangkalian pesakit untuk tidak mendapatkan rawatan segera adalah tinggi,” ujarnya.
Selain itu, jelasnya, ada beberapa faktor yang menyumbang kepada penyakit jantung iaitu amalan cara hidup tidak sihat, faktor pemakanan serta faktor genetik atau keturunan.
Dalam pada itu, KKM turut mengariskan beberapa faktor risiko penyakit kardiovaskular yang didapati daripada 90 peratus pesakit jantung di Malaysia.
Antaranya, tabiat merokok, menghidap hipertensi, berlebihan berat badan atau obes, mempunyai tahap kolesterol dalam badan yang tinggi, gaya hidup yang tidak aktif serta menghidap diabetes.
Ini 5 langkah awal yang patut diamalkan seluruh ahli keluarga anda bagi menjamin jantung yang sihat berdasarkan saranan KKM:
1. Bebas rokok
Jadikan rumah anda kawasan larangan merokok. Ini bukan sahaja memanfaatkan anda, tetapi yang lebih penting melindungi kesihatan anak-anak anda.
Jika anda berhenti merokok sekarang, anda akan berjaya mengurangkan risiko mendapat penyakit kardiovaskular sebanyak 50 peratus dalam tempoh satu tahun sahaja.
2. Hidup aktif
Aktifkan hidup anda dengan merancang aktiviti fizikal atau senaman di luar rumah, sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.
3. Jaga kalori
Ketahui keperluan kalori harian anda yang sesuai dengan gaya hidup yang anda amalkan.
Anda perlu bijak membuat pilihan makanan dan minuman yang lebih sihat, dan imbangi pengambilan makanan (kalori) dengan tahap aktiviti fizikal anda.
Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi lemak dan gula.
4. Buat ujian saringan
Ketahui tahap kesihatan anda dengan menjalani ujian saringan faktor risiko penyakit tidak berjangkit (non- communicable diseases) setiap tahun.
Ia merangkumi pemeriksaan tekanan darah, aras gula dan kolesterol dalam darah, pemeriksaan BMI dan ukur lilit pinggang. Minta doktor terangkan tahap risiko anda.
5. Elak stres
Tangani stres dengan bijak. Individu yang mengalami stres yang keterlaluan lazimnya mempunyai tabiat yang tidak sihat seperti merokok, makan secara berlebihan dan meminum alkohol secara tidak terkawal.
Baca:
Mangga terlebih masak jangan dibuang, ini cara mudah buat agar-agar mangga yang sedap
Budak di kedai ditanggalkan baju dan ditampar, inilah rupa pendudukan tentera
Tak duduk dalam kasut, cara Neelofa & Nabil respon luahan ‘caller’ raih kritikan warga maya