Simpanan dalam Tabung Haji (TH) umumnya memang dianggap selamat tetapi lain pula kisahnya dengan wanita warga emas ini yang terkejut lebih RM30,000 dicuri secara berperingkat.
Mangsa berusia 66 tahun berkenaan dilapor hampir pengsan selepas wang di dalam akaun TH miliknya itu disyaki dipindah ke akaun milik orang lain.
Datuk Jabidah Monseri berkata, wang miliknya juga dikeluarkan dengan menggunakan mesin juruwang automatik (ATM) sejak tahun 2018 sebanyak 30 transaksi.
Malangnya, beliau terlalu sibuk dengan kerja hanya menyedari kehilangan wang itu pada 30 November tahun lalu.
Selepas bersara sebagai Timbalan Ketua Pengarah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2017, beliau ditawarkan jawatan baharu.
Beliau kemudiannya ditawarkan sebagai Pengerusi UNIMAS Holdings iaitu anak syarikat milik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
“Berikutan terlalu sibuk dengan tugas baharu, saya tidak mengemaskini akaun Tabung Haji, tambahan pula saya amat yakin dengan keselamatan wang yang disimpan di Tabung Haji.
“Pada tahun 2019, saya dilantik pula sebagai ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Sarawak dan saya bertambah sibuk apabila perlu kerap bergerak di seluruh negeri sehingga saya terus tidak menyemak akaun Tabung Haji,” katanya, dipetik BH.
Menurut Jabidah pada November tahun lalu, beliau ke pejabat TH di Jalan Satok di Kuching untuk mengemas kini buku akaun miliknya setelah terjumpa semula buku akaun itu.
“Namun, saya hampir pengsan sebaik sahaja kerani yang membuat semakan memberitahu akaun saya hanya berbaki RM1,816.74 sedangkan wang saya di dalam akaun itu sepatutnya ada lebih RM31,000,” katanya.
Katanya, semakan lanjut pada penyata terperinci akaunnya mendapati wang simpanannya itu dikeluarkan menerusi 30 transaksi bermula 26 Februari 2018.
Tujuh transaksi dibuat menerusi pemindahan dari Tabung Haji ke beberapa akaun bank manakala 23 lagi menerusi pengeluaran menggunakan mesin ATM.
Pemindahan pertama ke akaun bank pada 26 Februari 2018 berjumlah RM10,000 dan pada tarikh sama, satu pengeluaran sebanyak RM1,000 dibuat menggunakan kad ATM.
Selepas itu, enam lagi pemindahan dari Tabung Haji ke akaun bank dibuat pada 11 Mac 2018 (RM5,000), 7 Mei 2018 (RM6,000), 21 Mei 2018 (RM5,000), 30 Mei 2018 (RM4,000), 27 Jun 2018 (RM3,500) dan 1 Januari 2019 (RM5,000).
Pengeluaran menggunakan mesin ATM pula bermula 26 Februari 2018 dan berlarutan sebanyak 23 transaksi sehingga 21 Januari 2020 dengan setiap pengeluaran antara RM1,000 hingga RM1,500.
Berikutan itu, Jabidah membuat laporan di Balai Polis Gita di sini pada 1 Disember tahun lalu bagi menuntut pihak Tabung Haji mengambil tindakan terhadap kes kehilangan wang itu.
Bagaimanapun, beliau kesal apabila sehingga kini, tiada sebarang makluman diterimanya daripada pihak Tabung Haji meskipun sudah tiga bulan laporan dibuat.
“Saya mengharapkan pihak Tabung Haji memberi maklum balas dan bertanggungjawab terhadap kehilangan wang simpanan saya itu,” tambahnya lagi.
Baca:
Elakkan minuman berkafein antara tips mudah bangun awal pagi
Tak rela dinodai, wanita lapor polis ‘rider’ mabuk buat aksi tak senonoh
5 idea menu sahur ini mudah disediakan, kenyang membawa sampai ke waktu berbuka