Anwar: Tindakan Asean tandatangan perjanjian dengan China bukti tidak gentar dengan AS

Oleh Ahmad Fahmi

KUALA LUMPUR, 29 Okt — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penandatanganan perjanjian perdagangan yang dipertingkat antara Asean dan China hanya sehari selepas lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membuktikan Malaysia dan negara-negara serantau tidak gentar dengan sebarang tekanan daripada kuasa besar dunia.

Beliau berkata, langkah memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-China (ACFTA) 3.0 selepas kunjungan rasmi pemimpin AS itu menggambarkan keberanian serta keseimbangan dasar luar Asean yang berasaskan prinsip dan kepentingan bersama.

“Sejurus Presiden Trump berlepas, kita menandatangani ACFTA 3.0. Tindakan ini jelas menunjukkan keberanian kita dalam menjalin hubungan dengan semua pihak tanpa rasa takut atau tunduk kepada mana-mana kuasa,” katanya pada sidang media selepas penutupan Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Anwar menjelaskan, sekiranya Asean benar-benar berasa terancam dengan AS, tidak mungkin perjanjian besar dengan China dapat dimuktamadkan dalam tempoh sehari selepas pertemuan bersama Trump.

Beliau menambah, kejayaan itu mencerminkan kebijaksanaan diplomasi kolektif Asean dalam menyeimbangkan hubungan strategik antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia.

“Dasar luar Malaysia sentiasa berpaksikan rasional dan kepentingan nasional. Kita bukan membuat keputusan berdasarkan emosi, sebaliknya menilai setiap langkah demi manfaat rakyat dan kestabilan serantau,” jelasnya.

Perjanjian ACFTA 3.0 yang ditandatangani itu memperkenalkan beberapa elemen baharu termasuk bidang ekonomi digital dan hijau, perlindungan pengguna, persaingan pasaran, pengukuhan rantaian bekalan, serta peningkatan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Dalam tempoh yang sama, Malaysia turut menandatangani satu perjanjian perdagangan timbal balik komprehensif dengan AS bagi memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, meningkatkan akses pasaran, dan menambah daya tahan rantaian bekalan antara kedua-dua negara.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan White House, perjanjian itu dijangka membuka peluang pasaran lebih luas kepada pengeksport kedua-dua negara, sekaligus memperkukuh hubungan ekonomi sedia ada.

Mengulas bantahan terhadap kehadiran Trump ke Malaysia baru-baru ini, Anwar menegaskan bahawa diplomasi negara tidak akan digerakkan oleh sentimen atau kebencian.

“Ada yang marah, mendakwa Trump dilaknat Tuhan dan sesiapa yang menyokongnya akan menerima nasib sama. Sikap sebegini tidak mencerminkan kematangan. Jika kita diberi ruang untuk berinteraksi dengan pemimpin utama dunia, gunakan peluang itu untuk menyatakan pendirian kita dan mempertahankan prinsip,” katanya.

Perdana Menteri turut menyeru agar rakyat menilai hubungan antarabangsa Malaysia berdasarkan manfaat jangka panjang, bukan persepsi sempit atau tekanan politik semasa.