Anwar: Pembangunan KL Tetap Pelihara Hak Melayu

Oleh Ahmad Fahmi

PETALING JAYA, 4 Jun 2025 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan semula kawasan perumahan di ibu negara tidak sesekali bertujuan untuk menindas atau mengusir orang Melayu, sebaliknya adalah usaha kerajaan dalam memperbaiki taraf hidup rakyat khususnya golongan B40, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang tinggal di kawasan bandar.

Dalam nada tegas , Anwar menolak dakwaan segelintir pihak yang memutarbelit fakta kononnya pembangunan ini akan merampas tanah penduduk Melayu.

“…Tetapi dijadikan satu isu kaum, seolah-olah hak Melayu akan dipinggir, orang Melayu akan keluarkan. Padahal secara jelas ia tidak akan terkesan dan penduduk yang asal, kekal. Itu semua jaminan dan semua itu jauh lebih baik.

Sudah tentulah keadaan perumahan itu lebih besar dan sebagainya untuk memungkin ada satu bentuk subsidi silang. Hal ini apabila kita bangkit soal kaum, Islam terancam… orang Melayu (tetapi) pejuang Melayu ini apabila berkuasa, dia punggah kekayaan,” katanya dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 6 di sini, malam tadi.

Sebagai Menteri Kewangan, Anwar menjelaskan bahawa projek pembangunan semula ini bukan hanya sekadar menggantikan bangunan lama, tetapi memberi peluang kepada rakyat untuk memiliki kediaman yang lebih selesa, luas dan berdaya huni, hasil daripada pendekatan berfasa dan subsidi silang yang adil serta inklusif.

Beliau juga menyentuh bagaimana terdapat pihak tertentu yang terus memainkan sentimen kaum demi kepentingan politik sempit, meskipun projek-projek ini secara asasnya dirangka untuk memulihkan kehidupan rakyat miskin bandar tanpa mengira latar kaum atau agama.

Anwar turut menyatakan keterbukaan kerajaan MADANI dalam menerima sebarang cadangan membina atau kritikan yang boleh memperkukuh lagi perancangan pembangunan perumahan rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri mendedahkan bahawa kerajaan sedang meneliti cadangan membangunkan projek perumahan di atas tapak stesen kereta api, sebagai langkah jangka panjang untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar raya.

Katanya, perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang berjalan bagi memastikan perancangan ini mengambil kira keperluan rakyat dari segi kediaman dan mobiliti.

Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 6 kali ini memberi tumpuan kepada tajuk ‘Pengangkutan untuk Rakyat: Mengimbangi Antara Kemampuan Rakyat, Kualiti dan Kemampanan Pengangkutan Awam’.