Anwar: Malaysia Tidak Campur Tangan, Hanya Bantu Selaras Rundingan Damai Thailand-Kemboja

Oleh Admin 05

KUALA LUMPUR, 11 Nov — Malaysia menegaskan peranannya dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja hanyalah sebagai penyelaras tanpa mengenakan sebarang syarat atau tekanan terhadap kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, Malaysia tidak pernah campur tangan dalam menentukan hasil rundingan, sebaliknya hanya berfungsi sebagai pemudah cara bagi memastikan proses perdamaian berjalan dengan teratur dan berkesan.

“Peranan Malaysia hanyalah untuk menyelaras. Ketika saya memanggil kedua-dua Perdana Menteri Thailand dan Kemboja, saya tekankan bahawa keputusan sepenuhnya di tangan mereka. Kita hanya membantu memudahkan proses agar keamanan dapat dicapai,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN–Arau) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar menambah, Malaysia tidak menetapkan apa-apa syarat terhadap rundingan tersebut, sebaliknya semua parameter dan keputusan dibuat berdasarkan persetujuan bersama antara Bangkok dan Phnom Penh.

Menjawab isu kritikan terhadap peranan Malaysia, beliau berkata pandangan yang berbeza perlu diterima sebagai sebahagian daripada budaya demokrasi, termasuk pandangan daripada individu di luar kerajaan kedua-dua negara.

“Dalam mana-mana negara pun pasti ada yang tidak sependapat. Begitu juga di Thailand. Kalau ada bekas pegawai tentera seperti Jeneral Rangsi Kitiyansap memberi pandangan berbeza, itu adalah hak beliau,” ujar Perdana Menteri.

Walaupun wujud kritikan, Anwar menegaskan bahawa keyakinan kedua-dua negara terhadap Malaysia sebagai penyelaras rundingan masih kukuh.

“Kita sedar mungkin ada pihak yang kurang senang melihat kejayaan Malaysia. Namun, hakikatnya Thailand tidak pernah mempertikaikan peranan kita. Perdana Menteri Thailand hanya meminta Malaysia membantu memastikan Kemboja mematuhi perjanjian damai tersebut,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, insiden letupan periuk api yang melibatkan kawasan sempadan dan dikaitkan dengan tentera Kemboja menjadi antara isu yang sedang diteliti semula oleh pihak berkuasa.

Bagi menyelesaikan perkara itu, Anwar telah mengarahkan Panglima Angkatan Tentera untuk mendapatkan laporan terperinci dan berunding semula dengan pihak berkaitan bagi memastikan kestabilan dapat dipulihkan segera.

Anwar menegaskan Malaysia tetap komited terhadap usaha mengekalkan keamanan serantau kerana sebarang ketegangan di rantau ASEAN boleh memberi kesan langsung kepada negara.

“Selagi Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN hingga Disember ini, kedua-dua negara masih berurusan dengan kita. Saya berdoa agar rundingan ini berjaya dan pertikaian tidak berpanjangan,” jelas beliau.

Pada 26 Oktober lalu, Thailand dan Kemboja menandatangani perjanjian damai di Kuala Lumpur yang turut disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bersama Perdana Menteri Malaysia.

Sebelum itu, pada 28 Julai, kedua-dua negara mencapai persetujuan gencatan senjata tanpa syarat hasil mesyuarat tiga hala yang dianjurkan oleh Anwar selepas beberapa minggu ketegangan di sempadan.