Anwar: Keputusan Ewon Letak Jawatan Terlalu Awal

Oleh ABDULLAH HAMID

TAWAU — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet sebagai langkah yang dibuat terlalu awal.

Anwar menjelaskan bahawa kerajaan Persekutuan masih belum memuktamadkan sama ada akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah.

“Peguam Negara baru sahaja membentangkan perkara ini tiga hari lalu. Mesyuarat Jemaah Menteri akan berlangsung esok bagi meneliti serta menentukan pendirian rasmi kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Jelajah Malaysia Digital Sabah di Pasar Taman Semarak, di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap keputusan kerajaan perlu dibuat dengan berhati-hati dan berpandukan proses perundangan yang sewajarnya.

“Pandangan peribadi saya lebih kepada mengelak daripada membuat rayuan, tetapi kita perlu terlebih dahulu mendengar penjelasan Peguam Negara dan meneliti keputusan mahkamah yang baru diterima,” jelasnya.

Menurut Anwar, kerajaan tidak boleh bertindak mengikut sentimen atau tekanan politik semasa, sebaliknya perlu berasaskan fakta serta undang-undang.

“Saya memahami keresahan rakyat Sabah, namun proses perundangan mesti diikuti dengan teliti,” tambahnya.

Perdana Menteri turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk melaksanakan dasar yang menegakkan undang-undang, di samping memastikan peruntukan kepada Sabah lebih terjamin berbanding sebelum ini.

Dalam masa sama, Anwar memaklumkan bahawa Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang akan diadakan esok tidak akan membincangkan isu rombakan Kabinet seperti yang tular sebelum ini.