MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak keras dakwaan yang mendakwa Kerajaan Madani menentang Islam, sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai helah politik pihak lawan yang mempergunakan agama demi meraih sokongan.
Berucap pada sambutan ulang tahun ke-27 Reformasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Anwar mengecam segelintir pemimpin pembangkang yang didakwanya sengaja bersembunyi di balik retorik agama untuk menyerang kerajaan dengan bahasa kesat serta tuduhan tanpa asas.
“Saya jarang mengulas soal individu, tetapi bila ada Ahli Parlimen kata ‘maruah kita sudah rosak’, saya ingin bertanya: ketika mereka berkuasa dahulu, Pas dalam kerajaan, judi ditambah atau tidak? Jangan hanya berselindung di sebalik agama tetapi perbuatan bercanggah dengan nilai Islam,” katanya.
Menurut Anwar, teguran yang bertujuan memperbaiki masyarakat adalah dialu-alukan, namun tuduhan kononnya kerajaan anti-Islam jelas tidak berasas.
“Di mana kerajaan ini menolak Islam? Peruntukan untuk pembangunan Islam kita tingkatkan, sekolah tahfiz kita bantu, malah pelajar huffaz kita bawa ke institusi TVET untuk diberikan kemahiran,” jelas beliau.
Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi MPN PKR Melaka, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin serta Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.
Perdana Menteri turut membandingkan rekod pentadbiran Kerajaan Madani dengan Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya gagal mengangkat agenda Islam.
“Bandingkan dengan mereka. Program Islam apa yang PN bawa di Kementerian Pendidikan? Malah, ketika mereka memerintah, lesen judi khas ditambah hingga 22 kali cabutan. Pas juga tidak boleh cuci tangan kerana ketika bersama kerajaan, merekalah yang meluluskan penambahan itu,” katanya.
Beliau menegaskan, perjuangan Reformasi sejak dulu menekankan keberanian menentang rasuah dengan fakta, bukan dengan label kafir atau munafik terhadap pihak lawan.
“Kita dididik untuk melawan rasuah, bukan menggunakan agama sebagai alat menipu rakyat,” ujarnya, sambil menekankan komitmen kerajaan menerapkan nilai Islam melalui pentadbiran yang bersih, adil dan berpaksikan rakyat.
Bercakap soal integriti, Anwar menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa penuh bertindak tanpa gangguan politik.
“Jika ada menteri, timbalan menteri atau sesiapa sahaja dalam kerajaan ini terlibat rasuah, mereka tidak akan dilindungi. Segala harta yang dicuri wajib dipulangkan kepada rakyat,” katanya.
Selain itu, beliau menegaskan kerajaan komited memperkukuh perpaduan nasional dengan menolak politik kebencian, di samping memastikan pembangunan seimbang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak termasuk menaik taraf sekolah daif serta mempercepat projek asas.
Anwar juga berkata, Malaysia akan memperhebatkan pelaburan strategik terutama dalam industri semikonduktor di Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah, selari dengan aspirasi menjadikan negara sebagai pemain utama teknologi baharu.
“Negara ini mesti ditadbir dengan kesungguhan, amanah dan kerja keras, bukan dengan retorik kosong atau politik kebencian. Malaysia Madani adalah untuk semua, tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan ibu pejabat baharu Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka.