Anina dakwa Muhyiddin bertindak seperti diktator dalam Bersatu

Oleh Ahmad Fahmi

KUALA LUMPUR: Bekas pengasas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Anina Saadudin, mendakwa Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini bertindak seperti diktator apabila mempunyai kuasa mutlak untuk memecat dan menggantung keahlian ahli parti tanpa mekanisme semak dan imbang yang jelas.

Menurutnya, keadaan itu berpunca daripada pindaan Perlembagaan Bersatu pada tahun 2020 yang menyaksikan pemansuhan jawatan Pengerusi parti, satu posisi yang sebelum ini disandang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kini setelah hanya sembilan tahun usia Bersatu, presiden bebas memecat dan menggantung sesiapa sahaja seperti diktator. Saya tidak mengenali Wan Saiful Wan Jan secara peribadi, tetapi saya baik dengan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau turut merujuk kepada tindakan disiplin terbaru Bersatu terhadap beberapa ahlinya dan menasihatkan mereka agar tidak terburu-buru menyertai parti lain, sebaliknya memohon petunjuk daripada Allah.

“Saya menonton podcast Wan Ahmad Fayhsal bersama Datuk Zaid Ibrahim. Jangan terburu-buru masuk parti lain. Kak Nina sendiri hingga kini masih kekal tidak berparti,” ujarnya.

Anina menjelaskan, jawatan Pengerusi diwujudkan ketika penubuhan Bersatu pada 2016 bagi mengimbangi kuasa Presiden dan mengelakkan penyalahgunaan kuasa dalam parti pada masa depan.

“Ketika itu, kami mahu pastikan tiada individu dalam parti yang boleh memonopoli kuasa. Kami tidak mahu 10 tahun atau 100 tahun akan datang, Presiden Bersatu menjadi diktator yang merosakkan parti dan negara,” katanya.

Beliau berkata, perkara yang berlaku dalam Bersatu hari ini sebenarnya sudah dijangka sejak awal, apabila struktur semak dan imbang dalam parti dimansuhkan.

“Tiada siapa panik apabila ‘pokok bergoyang’ di dalam Bersatu kerana angin sudah lama bertiup. Bunga di bendera merah sudah tidak mekar — luruh sebelum musim buah di PRN Sabah dan PRU-16,” katanya secara sinis.