SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sekali lagi menegaskan komitmennya untuk terus memimpin pentadbiran negeri sehingga tamat penggal, meskipun namanya disebut-sebut berpotensi menyertai Kabinet Persekutuan susulan rombakan yang dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
Mengulas spekulasi yang menyatakan beliau antara tokoh yang layak dilantik sebagai menteri, Naib Presiden PKR itu berkata fokus utamanya kini adalah memastikan semua agenda pembangunan dan perancangan negeri dapat disempurnakan.
“Bagi saya, lebih baik saya habiskan tugas di Selangor, memastikan kemenangan lebih kukuh pada pilihan raya akan datang dan menyelesaikan perancangan yang sudah dirangka,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri satu majlis rasmi.
Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tua yang juga Ahli Parlimen Gombak itu menyerahkan sepenuhnya kuasa menentukan barisan Jemaah Menteri kepada Anwar.
Rombakan Kabinet yang bakal diumumkan adalah kali kedua sejak Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada November 2022. Ketika ini, terdapat empat portfolio yang masih kosong iaitu ekonomi; sumber asli dan kelestarian alam; pembangunan usahawan dan koperasi; serta pelaburan, perdagangan dan industri.
Portfolio ekonomi dipangku oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, manakala portfolio sumber asli dan kelestarian alam diambil alih sementara oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Kekosongan itu timbul selepas Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad melepaskan jawatan pertengahan tahun lalu susulan kekalahan dalam pemilihan PKR.
Sementara itu, portfolio pembangunan usahawan dan koperasi kini dipangku oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi selepas peletakan jawatan Datuk Ewon Benedick bulan lalu.
Dalam perkembangan berlainan, Amirudin memaklumkan bahawa mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) semalam turut meneliti isu berkaitan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, yang meluahkan rasa tidak puas hati apabila DAP tidak dimaklumkan mengenai pengisytiharan unilateral bahawa PH menjadi sebahagian kerajaan Sabah.
Amirudin berkata perbincangan berlangsung baik dan kesemua pimpinan gabungan mencapai kata sepakat untuk terus memperkukuhkan kerjasama.
“Kami ingin memperkemas PH, melihat semula kekhilafan dan memulihkan sokongan yang mungkin terjejas selepas PRN Sabah,” katanya.
Semalam, Loke menegur Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Fuziah Salleh, kerana mengumumkan bahawa PH bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai cukup sokongan untuk membentuk kerajaan, tanpa pengetahuan DAP. Pada waktu itu, PH hanya menang satu kerusi — Melalap melalui calon PKR — manakala DAP tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandinginya.
Sebaliknya, GRS memenangi 29 kerusi dan kemudian membentuk kerajaan negeri bersama Barisan Nasional (BN), Upko serta lima calon Bebas.