KUALA LUMPUR, 6 Nov — Kerajaan belum memutuskan kadar pelaksanaan cukai karbon yang dijangka diperkenalkan tahun hadapan, sekali gus menolak dakwaan bahawa kadar permulaan sebanyak RM15 bagi setiap tan pelepasan karbon telah ditetapkan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menjelaskan laporan yang disiarkan oleh sebuah agensi berita antarabangsa baru-baru ini adalah terlalu awal kerana kerajaan masih memberi keutamaan kepada pembentangan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) terlebih dahulu.
“Ketika ini, kita sedang menyiapkan metodologi dan penanda aras bagi mengukur pelepasan karbon. Kajian terperinci oleh Kementerian Kewangan belum dimuktamadkan untuk menentukan kadar cukai karbon yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata, asas pengiraan atau baseline pelepasan karbon yang sedang dibangunkan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) perlu diwujudkan terlebih dahulu bagi memastikan pelaksanaan cukai karbon kelak lebih telus dan adil.
“Selepas RUUPIN diluluskan dan kita mempunyai metodologi standard serta data sebenar mengenai jumlah pelepasan, barulah kadar cukai dapat ditetapkan dengan lebih tepat. Hanya pihak yang melepasi paras penanda aras pelepasan akan dikenakan cukai,” tambahnya.
Amir Hamzah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) 2025, di ibu negara hari ini. Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Sebelum ini, Bloomberg melaporkan bahawa Malaysia dikatakan sedang mempertimbangkan kadar RM15 bagi setiap tan karbon sebagai langkah awal dalam pelaksanaan cukai tersebut. Laporan itu turut menyebut kerajaan sedang berbincang mengenai penubuhan sebuah agensi khusus untuk menyelia agenda perubahan iklim.
Namun, menurut sumber dalaman yang dipetik, perbincangan berhubung perkara itu masih di peringkat awal dan belum dimuktamadkan.
Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, memaklumkan RUUPIN kini berada pada fasa semakan Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas beberapa pindaan teknikal dilakukan termasuk menentukan struktur agensi pengawalseliaan perubahan iklim negara.
“Rang undang-undang ini dijangka dibentangkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 tahun depan (2026). Sepatutnya ia dibawa tahun ini, namun ada sedikit pelarasan kerana kita sedang meneliti bentuk agensi pelaksana sama ada di bawah kerajaan atau entiti berasingan,” katanya di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah menegaskan hasil kutipan cukai karbon kelak akan digunakan sepenuhnya bagi membiayai pelbagai program adaptasi perubahan iklim serta menyokong usaha pengurangan pelepasan karbon.
“Syarikat yang proaktif melaksanakan inisiatif hijau atau projek pengurangan karbon akan menerima insentif daripada kerajaan,” jelasnya.