Realtime website trackingweb stats

Kenapa saya percaya Amanah merupakan parti yang punya masa depan?

Oleh ADINDA

Jamzuri Ardani

Kenapa saya percaya Amanah merupakan parti yang punya masa depan?

Sebabnya ialah kerana parti ini mendokong nilai-nilai politik yang agak langka (scarce) dan tidak popular dalam masyarakat hari ini, tetapi amat diperlukan di hari mendatang.

Contohnya seperti kuat mendokong semangat setiakawan bersama rakan kolisi. Ini sifat yang tidak popular dan jarang ada dalam mana-mana parti politik. Kekadang ia dianggap satu kebodohan pula. Kebanyakan parti-parti politik hari ini berdiri di atas kepentingan semasa dan bukannya semangat setiakawan. Tapi Amanah kuat mendokong semangat setiakawan. Bukan juga bermaksud mengikut membuta tuli. Kita berani berkata yang benar walaupun pahit di hadapan rakan. Kita juga boleh tegur menegur, kritik mengkritik dan berbeza fikir dengan rakan-rakan. Tetapi ianya tidak sekali-kali menjurus kepada perbuatan khianat atau sabotaj rakan sekutu.

Jamzuri Ardani

Contoh lagi ialah seperti kuat mendokong prinsip-prinsip kesederhanaan, keharmonian kaum atau agama, dan menolak perkauman dan ektrimisma. Bagi Masyarakat Malaysia yang secara umumnya agak konservatif, nilai-nilai ini tidak banyak membawa laba politik dan agak tidak popular. Tapi ia amat perlu ditegakkan dan diperjuangkan dalam konteks politik Malaysia masa depan. Kalaupun ianya tidak begitu dihargai pada masa ini, ia pasti akan sangat diperlukan di masa depan.

Hari ini mungkin masyarakat konservatif lebih suka mendengar retorik politik yang dilihat lantang, garang, berani dan keras. Apatah lagi ianya diadun dengan sentimen kaum dan agama. Tapi, lama kelamaan masyarakat akan sedar, retorik seperti itu tidak membawa negara kita ke arah yang diharapkan.

Contoh seterusnya ialah keengganan ataupun sekurang-kurangnya kesipuan pimpinan politik Amanah mengamalkan ‘patronage politics’ sesama aktivis dan pendokong parti. Ramai ahli dan pendokong parti yang kecewa apabila pimpinan Amanah dilihat kurang ‘menjaga kepentingan’ aktivis parti semasa berada di dalam kerajaan. Mereka malah ada yang diherdik dan dimaki.

Parti-parti yang dianggotai oleh ramai orang Melayu sukar untuk menjadi parti besar dan utama tanpa ‘gula-gula politik’. Ini hakikat.

Ketika ini, AMANAH mempunyai 11 kerusi Parlimen manakala 33 DUN. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), AMANAH bertanding di 34 kawasan dan 119 kerusi DUN.

Tetapi ‘patronage politics’ ini, walaupun ia mampu menyuburkan sesebuah parti politik untuk menjadi kuat dan popular, dari segi jangka panjang ia boleh membunuh negara itu sendiri. Kerosakan sistem politik hari ini punca besarnya ialah amalan ‘patronage politics’ parti pemerintah sejak beberapa dekad yang lepas.

Parti yang paling kurang amalan ‘patronage politics’nya adalah Amanah. Maka ia suatu yang dilihat kurang popular dan mungkin juga suatu kebodohan oleh ramai pendokong politik pada hari ini. Tapi di masa depan, itulah politik yang akan dirangkul kuat oleh rakyat kebanyakan apabila masyarakat sudah lebih memahami kesannya kepada politik negara secara keseluruhan.