Akses Media Sosial Remaja Bawah 16 Tahun Bakal Disekat di Bawah Akta 866

Oleh Admin 05

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang merangka langkah pengawalseliaan baharu bagi memastikan platform dalam talian menyekat akses pengguna berusia bawah 16 tahun, selain mewajibkan kandungan yang ditawarkan kepada pengguna bawah 18 tahun disesuaikan mengikut tahap umur mereka.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini menyiapkan pembangunan 10 perundangan subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866), yang memberi tumpuan kepada aspek keselamatan kanak-kanak di ruang digital termasuk piawaian kandungan yang sepatutnya dipaparkan kepada golongan berumur bawah 18 tahun.

Menurut beliau, peraturan baharu itu akan meletakkan tanggungjawab ke atas penyedia platform untuk memastikan aplikasi mereka tidak boleh digunakan oleh pengguna bawah umur 16 tahun. Pada masa sama, penyedia platform diwajibkan menapis kandungan agar hanya bahan yang sesuai dipaparkan kepada remaja di bawah usia 18 tahun.

Fahmi menambah bahawa platform digital juga perlu menyediakan ciri kawalan ibu bapa serta tetapan keselamatan selaras dengan garis panduan komuniti atau syarat penggunaan masing-masing.

Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH–Labis) di Dewan Rakyat mengenai kesediaan kerajaan mewujudkan undang-undang khusus bagi mengehadkan penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok oleh remaja bawah 16 tahun.

Dalam penjelasan lanjut, Fahmi menegaskan bahawa setiap penyedia perkhidmatan akan diwajibkan membentangkan pelan keselamatan dalam talian, yang menunjukkan bagaimana mereka mematuhi keperluan keselamatan yang ditetapkan di bawah Akta 866. Langkah ini, katanya, bertujuan meningkatkan ketelusan serta memastikan penyedia platform bertanggungjawab terhadap risiko yang dihadapi pengguna muda.

Beliau berkata rangka undang-undang berkenaan merupakan komitmen berterusan kerajaan untuk menyediakan persekitaran internet yang lebih selamat, mampan dan mesra pengguna keluarga, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan yang lebih mudah terdedah kepada bahaya dalam talian.

Akta 866 digubal sebagai mekanisme pengawalseliaan kandungan berbahaya di internet serta menetapkan tanggungjawab penyedia perkhidmatan aplikasi, kandungan dan rangkaian yang dilesenkan.

Dalam usaha memperkukuh perlindungan digital ini, kementerian juga telah menguatkuasakan syarat pelesenan bagi penyedia platform pesanan internet dan media sosial yang perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).