Realtime website trackingweb stats

Agong penentu majoriti Perdana Menteri

Oleh ADINDA

Zulkarnain Luqman

Apabila seorang PM hilang sokongan majoriti ahli Dewan, menjadi tugas YDPA untuk melantik PM yang baharu. Sebelum perlantikan PM yang baharu, YDPA perlu pastikan bahawa PM tersebut sudah hilang sokongan majoriti.

Bagaimanakah YDPA tentukan sokongan majoriti itu telah hilang? Sebelum kes Dato Seri Nizar Jamaludin, Malaysia seperti mana negara komanwel yang lain menggunakan ujian undi usul percaya atau usul tidak percaya di dalam Dewan. Selepas kes tersebut, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan Sultan boleh tentukan majoriti itu di luar Dewan.

Selepas kes Dato Seri Nizar itu, hanya sekali berlaku penentuan ini iaitu peristiwa usul undi percaya di DUN Perak yang mana DS Faizul Azumu (PPBM) digantikan dengan Dato Shaarani. Selain itu, pertukaran Ketua Menteri atau MB seperti di Kedah, Melaka dan Johor tidak berlaku sebegitu. Pertukaran KM di Sabah pula dibuat secara pilihan raya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah setelah digugurkan jawatan tersebut pada Februari.

Oleh itu, apabila UMNO sudah menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddn Yaasin (TSMY) maka kemungkinan besar YDPA akan memanggil TSMY untuk menghadap dan bertanyakan kepada TSMY sama ada beliau masih mempunyai sokongan majoriti. Sekiranya TSMY mengemukakan bukti beliau masih mempunyai majoriti dan YDPA berpuashati maka TSMY akan kekal sebagai PM.

Sekiranya YDPA tidak berpuashati maka YDPA akan menitahkan TSMY untuk meletakkan jawatan. Sekiranya TSMY meletakkan jawatan maka YDPA akan melantik PM yang baharu. Sekiranya TSMY enggan meletakkan jawatan maka jawatannya akan gugur secara automatik dan YDPA masih berhak untuk melantik PM yang baharu. TSMY boleh juga memohon untuk dibubarkan Dewan Rakyat bagi dilaksanakan PRU 15. Melihat kepada keadaan Covid-19 dan proklamasi darurat di Sarawak yang baharu diisytiharkan, peluang untuk YDPA bersetuju dengan pembubaran ini agak mustahil.

Bagi perlantikan PM yang baharu, YDPA akan menggunakan ujian yang sama iaitu penentuan sokongan majoriti ahli Parlimen. Sewaktu Tun M meletakkan jawatan, YDPA telah memanggil semua ahli Parlimen untuk menghadap dan penentuan majoriti tidak dapat dibuat kerana tiada sokongan yang jelas. Selepas itu, YDPA memanggil ketua parti dan selepas itu YDPA melantik TSMY sebagai PM. Isu sama ada betul atau tidak representasi ketua parti itu tidak menjadi persoalan kepada YDPA selagi pada pendapat YDPA orang itu mempunyai sokongan majoriti.

Dalam kes pada hari ini, kita tidak tahu sama ada YDPA akan memanggil semua ahli Parlimen atau memanggil ketua parti sahaja. Besar kemungkinan YDPA akan menggunakan kaedah yang sama atau mungkin YDPA akan menitahkan setiap ahli parlimen mengemukakan surat akuan. Namun, kemungkinan YDPA akan menitahkan Parlimen untuk bersidang dan dibuat usul perlantikan PM itu agak tipis walaupun cara ini yang paling terbaik dan paling telus untuk mengurangkan politiking sementara menunggu PRU 15.

Bagi calon PM yang baharu hanya ada 2 calon yang berpotensi sekarang iaitu sama ada daripada UMNO atau PH sahaja. Sekiranya UMNO berjaya untuk mendapatkan sokongan rakan PN seperti mana di Perak maka UMNO akan muncul sebagai juara. Sekiranya PPBM tidak berpuashati dan enggan menyatakan sokongan kepada UMNO maka UMNO akan menjadi biggest loser. Kemungkinan besar jika senario ini berlaku maka akan jatuh juga kerajaan di Kedah, Johor dan Melaka.

Jangkaan analisa oleh Institut Darul Ehsan (IDE) tentang bilangan sokongan terkini ahli parlimen

Sekiranya PH berjaya mendapatkan sokongan ahli Parlimen yang lain, kemungkinan calon PM adalah daripada PH. Ini bergantung sejauh mana PH boleh negosiasi dengan ahli Parlimen lain. Untuk mencapai tahap tersebut Pengerusi PH harus berperanan mencari calon yang benar-benar boleh diterima oleh semua pihak sama ada diri beliau sendiri atau calon yang lain.

Jika seorang PM atau MB meletakkan jawatan maka kabinet dan EXCO juga gugur bersama PM. Pembentukan kabinet dan EXCO yang baharu perlu dibuat secepat mungkin selepas itu.