Adun PH Luah Kecewa Sidang DUN Kelantan Ditamat Awal Tiga Jam

Oleh Ahmad Fahmi

KOTA BHARU, 22 Julai 2025 – Sidang DUN Kelantan pada hari pertama semalam telah ditamatkan dalam tempoh tiga jam tanpa sebarang usul kerajaan.

Ia juga tidak memberi ruang kepada Adun PH-BN untuk membangkitkan isu-isu yang berkaitan.

Menurut Dr Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama), DUN sepatutnya membahaskan RUU Keluarga Islam 2025 tetapi ia telah ditarik balik oleh exco.

“Apa ertinya semua ini? Ini lah nasib pembangkang minoriti di negeri Kelantan. Suara kami sebagai penyemak dan imbang sangat kecil. Ruang masa yang ada juga tersangat suntuk.

“Selepas rehat dewan sepatutnya diteruskan untuk perbahasan RUU Keluarga Islam 2025. Namun ianya ditarik balik oleh exco sendiri. Sidang ditamatkan awal.

“Cubaan YB Galas untuk meminta agar sidang diteruskan untuk jawapan soalan yang berbaki juga tidak berjaya kerana tidak dimasukkan dalam aturan dewan,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Pembangkang di Kelantan hanya terdiri dari tiga wakil rakyat, termasuk Hafidzah.

Dua yang lain ialah Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (BN-Nenggiri) dan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas).