Kerosakan besar yang ditinggalkan banjir di Kelantan, khususnya kepada kediaman penduduk,
Telah memberi peluang kepada golongan kaya untuk menyumbang dengan cara yang lebih senyap kepada mereka yang terjejas.
Dalam satu hantaran di TikTok oleh @mdzulkifliymuhammad, beliau berkongsi pengalaman bencana banjir yang lalu,
Di mana ramai individu berkemampuan mengunjungi Kelantan untuk menyumbang tanpa perhatian ramai. Hal ini turut diakui oleh rakyat Kelantan.
“Selepas banjir 2014, banyak NGO masuk ke kampung-kampung tanpa berkumpulan.
Mereka bukan naik 4×4, tetapi hanya kereta biasa seperti Iswara kecil, biasanya bersama seorang pengawal peribadi,” katanya.
Menurutnya, individu tersebut sebenarnya adalah VIP yang datang untuk menyampaikan wang zakat perniagaan mereka, tetapi mereka memilih untuk tidak diketahui kerana jumlah sumbangan yang dibawa adalah sangat besar.
“Diharapkan orang itu akan berhenti di rumah anda dan memberi sumbangan. Rezeki kita tidak siapa yang tahu,” katanya lagi.
Menerusi komen-komen, dia juga mendedahkan bahawa ada mangsa banjir yang menerima sumbangan tunai antara RM5,000, RM10,000, atau RM15,000 daripada golongan kaya tersebut. Selain itu, beberapa individu yang membantu itu juga dilaporkan mempunyai pangkat Datuk atau Datuk Seri.
Seorang pengguna TikTok, @Khaiizmal, berkongsi pengalamannya ketika keluarganya dibantu semasa banjir besar 2014 di Kelantan.
“Pada banjir 2014, keluarga kami menerima RM10,000 daripada seseorang yang tidak dikenali, datang dari Kuala Lumpur. Dia datang melihat rumah kami dan keesokan harinya, wakilnya datang untuk menyerahkan RM10,000 bagi membaiki rumah, termasuk sumbangan barang-barang rumah, tilam, dan makanan,” katanya.
Seorang lagi pengguna TikTok, Fifi, berkongsi pengalaman serupa ketika rumah keluarganya terjejas akibat banjir pada tahun 2020.
“Saya rasa pernah berjumpa dengan individu seperti ini. Masa banjir 2020, dia hanya tinggal dalam kereta, memberi kata-kata semangat dan menyumbang duit dengan senyuman sebelum pergi,” katanya.
Pengguna lain, @ins4n.bias4, turut berkongsi pengalaman bantuan yang diterima semasa banjir 2021.
“Betul, masa banjir 2021, saya juga mendapat bantuan. Mereka datang secara tiba-tiba dan memberikan banyak barang yang masih boleh digunakan hingga kini, termasuk tilam, bantal, barang solat, dan tikar,” katanya.
Kisah-kisah ini membuktikan bahawa walaupun dalam kesusahan, masih ada individu yang berjiwa dermawan, menyumbang secara senyap tanpa mengharapkan pujian, dan memberi harapan kepada mangsa-mangsa yang terkesan.
BACA: Macam mana nak ambil wudhu ketika banjir? Ini jawapan Ustaz Wadi