Realtime website trackingweb stats

Sebaik-baik manusia menjadi sejahat-jahat manusia

Oleh ADINDA

Fakhrul Razi

Buat orang-orang yang sukar percaya orang yang dilihat sewarak-warak manusia boleh menjadi sejahat-jahat manusia boleh cuba membaca novel Dr. Jekyll and Mr. Hyde.

Novel ini adalah novel wajib Literature English ketika aku ambil PMR dulu. Kisah tentang bagaimana seorang lelaki yang ada dua personaliti iaitu Dr. Jekyll yang baik dan suka membantu orang manakala personaliti Mr. Hyde adalah orang yang sangat berbeza dan sangat jahat sehingga sanggup membunuh budak kecil perempuan.

Novel Dr. Jekyll And Mr. Hyde yang digunakan sebagai bahan Literature English PMR

Ringkasan kisahnya, suatu hari Dr Jekyll mencipta cecair formula yang boleh mengubah dirinya menjadi orang lain apabila formula tersebut diminum. Setiap kali dia meminumnya dia akan menjadi Mr. Hyde, seorang yang berperwatakan benar-benar berbeza dengan Dr Jekyll. Dr Jekyll adalah seorang yang tampan dan bertubuh tegap sasa, juga seorang yang sangat baik dan dihormati dalam masyarakat. Mr.Hyde pula adalah seorang yang benar-benar berbeza. Fizikalnya kecil dan menakutkan, dan yang lebih dasyat lagi, dia seorang yang benar-benar jahat malah dia tanpa teragak-agak membunuh orang. Sebagai contohnya dia dengan tanpa perasaan belas, memijak seorang kanak-kanak perempuan bernama Eddie. Dia juga telah membunuh Sir Danvers Carew dengan tongkatnya setahun kemudian.

Hakikatnya mereka adalah individu yang sama diceritakan dalam novel tulisan penulis Scottish, Robert Louis Stevenson pada tahun 1886 ini. Zaman moden ini juga ada sejenis penyakit mental yang berkaitan kecelaruan personaliti dipanggil Dissociative Identity Disorder (DID).

Mudahnya, DID adalah kecelaruan personaliti, iaitu apabila seseorang itu mempunyai lebih daripada satu personaliti dalam dirinya, yang sangat berbeza antara satu sama lain. Kadang kala mereka kelihatan ceria dan bahagia, pada waktu lain apabila personaliti mereka berubah, mereka boleh menjadi lebih agresif, negatif dan lain-lain, bergantung kepada personaliti yang berbeza yang ada dalam diri mereka.

Kalau sukar untuk memahami, boleh juga cuba mencari filem dan movie yang mengangkat topik berkaitan penyakit ini dan tonton untuk lebih jelas. Sudah banyak filem yang mengangkat penyakit mental sebagai jalan cerita dalam usaha mewujudkan kesedaran orang ramai terhadap penyakit yang kadang kala tidak disedari ini.

Dr Jekyll and Mr Hyde versi Korea pun dah ada iaitu ‘Hyde Jekyll, Me’ kisah seorang anak orang kaya yang berlagak boleh bertukar personaliti sebaliknya menjadi baik dan lembut atau filem thriller psikologi Amerika ‘SPLIT’, mengenai seorang lelaki yang ada 23 personaliti.

Pada pandangan peribadi, kecelaruan identiti ini perlu diubati segera. Orang ramai mempunyai hak untuk tahu dan risau dengan keadaan penghidap penyakit mental ini memandangkan terdapat kes jenayah melibatkan pesakit mental di negara ini. Dalam masa yang sama, tidak mustahil individu-individu yang terkenal dan kelihatan warak atau innocent ini juga merupakan penghidap sakit mental.

Mudahnya, setinggi mana kita menyanjung manusia itu, berpadalah. Kerana sering kali ketaksuban itu mematikan akal yang sihat dan menghalang cahaya kebenaran.