Kerajaan beri elaun pertukaran kepada doktor kontrak dilantik tetap mulai 2025

Oleh Ahmad Fahmi

Kerajaan beri elaun pertukaran kepada doktor kontrak dilantik tetap mulai 2025

Kerajaan memutuskan untuk memberikan elaun pertukaran dan perpindahan kepada doktor kontrak yang berjaya diserap ke jawatan tetap di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) bermula tahun 2025.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif tersebut merupakan pemberian pertama seumpamanya yang membolehkan pegawai perubatan berkenaan membuat tuntutan bagi pelbagai komponen elaun berkaitan perpindahan.

Menurut beliau, antara kelayakan yang dibenarkan termasuk elaun makan, bayaran sewa hotel atau elaun lojing, kos perjalanan, tambang penghantaran barangan, pemberian pindahan serta perbelanjaan pelbagai yang berkaitan.

Beliau menjelaskan bahawa tuntutan sehingga 100 peratus dibenarkan bagi pertukaran melibatkan pergerakan antara wilayah, sama ada dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak atau Labuan, atau sebaliknya.

Bagaimanapun, bagi pertukaran dalam wilayah yang sama, termasuk di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan, had tuntutan ditetapkan sehingga 50 peratus daripada jumlah keseluruhan yang layak.

Dr Dzulkefly berkata, langkah itu diharap dapat meringankan beban kewangan pegawai perubatan yang perlu berpindah serta membantu proses penyesuaian di tempat tugas baharu, selain memaklumkan bahawa KKM akan terus memperjuangkan kesinambungan pemberian elaun berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Dzulkefly turut menolak dakwaan bahawa KKM telah mengurangkan kadar Bantuan Imbuhan Wilayah (BIW) susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Beliau menegaskan bahawa tiada sebarang pemotongan atau pengurangan elaun dibuat, sebaliknya melalui pelaksanaan SSPA, kerajaan bersetuju menetapkan kadar elaun secara pegun bagi penerima sedia ada serta memperkenalkan kadar baharu kepada pegawai yang layak.

Menurutnya, penerima BIW sedia ada akan terus menerima kadar tetap berdasarkan amaun terakhir sebelum tarikh kuat kuasa SSPA, manakala pegawai lantikan baharu atau pegawai yang baru layak akan menerima kadar antara RM270 hingga RM960 sebulan.

Dr Dzulkefly turut memaklumkan bahawa penetapan kadar pegun BIW itu mula dilaksanakan melalui SSPA berkuat kuasa 1 Disember 2024.

Beliau menambah bahawa BIW merupakan imbuhan khas atau elaun tambahan yang diberikan kepada pegawai awam yang berkhidmat dan ditempatkan di Sabah serta Sarawak.