Dasar Kanak-Kanak Negara 2026–2030 memberi tumpuan utama kepada pengukuhan keselamatan digital sebagai langkah proaktif kerajaan dalam membendung ancaman eksploitasi seksual dalam talian terhadap golongan kanak-kanak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, dasar yang dilancarkan pada 24 November lalu itu dirangka dengan penekanan menyeluruh meliputi advokasi, pencegahan, intervensi serta penyediaan perkhidmatan sokongan bagi memastikan perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran digital.
Menurut beliau, Dasar dan Pelan Tindakan Kanak-Kanak Negara yang baharu mengambil kira cabaran semasa melibatkan dunia siber, khususnya risiko eksploitasi, susulan penggabungan Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak dalam Dunia Siber yang dilaksanakan sebelum ini.
Beliau menjelaskan bahawa eksploitasi seksual dalam talian dikenal pasti sebagai satu ancaman serius yang memerlukan pendekatan khusus, berfokus dan bersesuaian dengan perkembangan teknologi digital masa kini.
Lim berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini, berkaitan tahap keupayaan dasar sedia ada dalam menangani isu semasa seperti buli siber dan eksploitasi seksual kanak-kanak secara dalam talian.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Malaysia telah membentangkan kemajuan komitmen negara terhadap pemeliharaan hak kanak-kanak pada sesi dialog konstruktif bersama Jawatankuasa Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) di Geneva pada 22 dan 23 Januari lalu.
Menurutnya, antara perkara yang dibangkitkan oleh jawatankuasa berkenaan termasuk keperluan menjamin akses pendidikan yang adil, memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak serta menangani risiko yang wujud dalam persekitaran digital.
Menjawab pertanyaan berkaitan pemantauan agensi penguat kuasa terhadap isu penderaan kanak-kanak, Lim berkata kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjalankan pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun, selain melaksanakan pemeriksaan mengejut ke atas premis asuhan yang tidak berdaftar.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebuah Pasukan Petugas Pemutihan Taska telah ditubuhkan bagi menyelaras proses pengelasan dan pendaftaran premis asuhan di seluruh negara, sebagai langkah pencegahan terhadap risiko penderaan serta pengabaian kanak-kanak.