Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kewujudan satu kluster penyakit Tuberkulosis (Tibi) di Kota Tinggi, Johor pada 25 Januari lalu, melibatkan 33 kes positif hasil pemeriksaan ke atas 804 individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat setakat kelmarin.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa pasukan KKM telah digerakkan ke lokasi terlibat dan kini melaksanakan langkah-langkah intensif bagi mengawal serta memutuskan rantaian jangkitan penyakit berjangkit itu.
Beliau berkata, semua pesakit yang disahkan positif sedang menerima rawatan sewajarnya dan berada di bawah pemantauan rapi pihak KKM, sebagaimana dimaklumkan menerusi satu hantaran di platform X, semalam.

Berdasarkan maklumat di laman rasmi KKM, Tibi atau lebih dikenali sebagai batuk kering merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria *Mycobacterium tuberculosis* dan boleh menjangkiti individu lain jika tidak dikawal.
Penyakit ini merebak melalui udara, khususnya apabila pesakit batuk, bersin atau bercakap dalam jarak dekat, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan kepada individu di sekeliling.
Antara simptom utama Tibi termasuk batuk berterusan melebihi dua minggu, demam, penurunan berat badan, hilang selera makan serta batuk berdarah yang memerlukan pemeriksaan segera.
Bagi mengurangkan risiko jangkitan, KKM menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan kebersihan diri, mencuci tangan dengan kerap, mengelakkan sentuhan pada mata, hidung dan mulut, serta memakai pelitup muka terutama di kawasan berisiko tinggi.
Selain itu, amalan penjarakan fizikal, pemakanan seimbang, rehat mencukupi, gaya hidup sihat dan menjauhi tabiat merokok turut disarankan bagi meningkatkan daya tahan tubuh.
KKM turut menegaskan kepentingan pesakit Tibi mematuhi sepenuhnya tempoh rawatan dan menghadiri semua janji temu susulan yang ditetapkan bagi mengelakkan komplikasi serius serta penularan berterusan.

Menurut kementerian itu, antara lima hingga 10 peratus individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Tibi berisiko dijangkiti dalam tempoh dua tahun, khususnya mereka yang tinggal serumah, kerap berinteraksi rapat, berkongsi kenderaan atau berada dalam persekitaran sosial dan organisasi yang sama.
Sehubungan itu, orang ramai digalakkan menjalani pengesanan awal melalui pemeriksaan klinikal, penilaian gejala, ujian kulit Tuberkulin, ujian pelepasan interferon-gamma (IGRA), ujian kahak serta pemeriksaan sinar-X dada bagi membolehkan rawatan awal diberikan.
Pesakit yang disahkan menghidap Tibi akan menjalani rawatan selama enam bulan, termasuk pesakit Latent Tibi (LTBI), manakala individu yang didapati bebas jangkitan akan dipantau melalui empat pemeriksaan susulan dalam tempoh dua tahun.