PM Tegas: Kerajaan Tidak Lagi Bertolak Ansur Terhadap Kelemahan Penguatkuasaan

Oleh ABDULLAH HAMID

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak boleh lagi bersikap lunak terhadap kelemahan penguatkuasaan dan kegagalan tadbir urus yang berlarutan tanpa tindakan serius.

Beliau berkata, negara perlu diselamatkan daripada amalan dan kegiatan yang merosakkan integriti pasukan penguat kuasa serta memberi kesan negatif kepada ekonomi dan masa depan Malaysia.

“Saya telah sampai ke tahap hilang kesabaran kerana masih terdapat ruang dan kelemahan yang wajib diperbetulkan. Negara ini mempunyai potensi besar, dan rakyat menaruh harapan tinggi terhadap perubahan serta pembelaan yang tulen,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perdana Menteri Bersama Ketua Jabatan dan Agensi Penguatkuasaan Berkaitan Jenayah Kewangan anjuran Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), di sini, hari ini.

Menurut beliau, walaupun Malaysia memiliki asas ekonomi yang kukuh dan sumber manusia berkualiti, kegagalan menangani isu seperti pencerobohan, penyeludupan dan kegiatan ekonomi gelap terus menghalang negara mencapai tahap kemajuan sebenar.

“Selepas hampir tiga tahun memimpin, saya melihat masih terdapat kelompongan yang tidak boleh dibiarkan. Sama ada pencerobohan, penyeludupan atau toleransi terhadap kegiatan haram, termasuk yang berlaku dengan kelemahan atau keizinan pihak penguat kuasa, semuanya perlu dihentikan,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan kerajaan tidak mahu lagi bergantung kepada laporan kejayaan semata-mata, sebaliknya menuntut tindakan tegas dan berkesan dalam menangani isu integriti serta penguatkuasaan undang-undang.

“Jangan ambil sikap sambil lewa atau terlalu mudah memaafkan. Ini bukan perkara yang boleh dibiarkan berulang. Masa untuk bertindak adalah sekarang,” katanya.

Anwar dalam masa sama melahirkan rasa kecewa terhadap kelemahan yang masih wujud meskipun terdapat ramai pegawai penguat kuasa yang berkhidmat dengan cemerlang dan penuh dedikasi.

“Saya akui ramai yang telah berbakti dengan sangat baik, namun realiti memaksa kita bermuhasabah. Apakah kita mahu terus berkompromi dengan penyeludupan, rasuah dan kegiatan gelap? Jawapannya tidak. Kita tidak boleh teruskan cara lama,” tegas beliau.