RM34 Juta Wang Penipuan Diselamatkan, RM6.7 Juta Dikembalikan Kepada Mangsa Tahun Lalu

Oleh ARIF ABDULLAH

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM34 juta wang hasil kegiatan penipuan atau scam berjaya diselamatkan sepanjang tahun lalu, dengan RM6.7 juta daripadanya telah dipulangkan semula kepada mangsa, meningkat ketara berbanding hanya RM508,479 pada tahun sebelumnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peningkatan jumlah wang yang berjaya diselamatkan itu didorong oleh pengoperasian sepenuh masa Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang kini beroperasi 24 jam sehari, berbanding hanya pada waktu pejabat sebelum ini.

Menurut beliau, wang berkenaan diselamatkan menerusi peruntukan Subseksyen 424A, 424B dan 424C Kanun Keseksaan, yang membolehkan transaksi penipuan dibekukan sebelum wang tersebut dipindahkan secara berlapis.

“Secara keseluruhan, berdasarkan data aduan mangsa yang diterima, jumlah kerugian akibat jenayah scam yang direkodkan sepanjang tahun lalu mencecah RM542 juta,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Selasa.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, berhubung jumlah mangsa penipuan yang berjaya mendapatkan semula wang mereka bagi tempoh 2024 hingga 2025.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution memaklumkan bahawa profil kes penipuan menunjukkan golongan pekerja sektor swasta, penjawat awam, pesara, pelajar serta ahli perniagaan merupakan antara kumpulan yang paling kerap menjadi mangsa.

Katanya, pemprofilan tersebut membantu pihak berkuasa memahami corak jenayah kewangan atas talian termasuk penipuan cinta, e-dagang, pinjaman tidak wujud, pelaburan palsu dan jenayah telekomunikasi, sekali gus meningkatkan kecekapan siasatan.

“Selain itu, kita turut menggabungkan keupayaan semua agensi berkaitan, bukan sahaja Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, malah MCMC, KPDN serta agensi lain bagi membanteras jenayah ini secara menyeluruh,” katanya.