PM Tekankan Sistem Audit Perlu Efisien, Tidak Membebankan Rakyat

Oleh Ahmad Fahmi

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan agar Jabatan Audit Negara (JAN) tidak memperkenalkan sistem pengauditan yang menyulitkan rakyat.

Beliau berkata, JAN perlu lebih mendekati masyarakat dan memahami keperluan sistem audit yang bukan sahaja cekap dan berkesan, tetapi juga telus serta memberi manfaat kepada semua pihak.

“Kadangkala langkah baharu yang diperkenalkan untuk memperbaiki sistem dibantah kerana dianggap membebankan. Kita perlu pastikan audit tidak menekan atau mempersulitkan rakyat,” kata Anwar ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan 120 Tahun JAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Perdana Menteri menekankan bahawa sistem audit perlu lebih berkesan, efisien, dan telus, agar hasilnya benar-benar dapat dinikmati oleh rakyat. Beliau turut menegaskan bahawa jurang antara niat baik dan pemahaman masyarakat terhadap sistem boleh menimbulkan salah faham dan keresahan.

Anwar menambah, reformasi audit perlu merangkumi pendigitalan dan pendekatan yang lebih mesra rakyat. “Sistem audit harus dilaksanakan sehingga ke peringkat bawah agar tidak dianggap menakutkan. Langkah-langkah ini perlu diteruskan, dan saya berpuas hati dengan prestasi JAN setakat ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pembaharuan ini penting untuk mengurangkan risiko ketirisan, penyalahgunaan kuasa dan kecelaruan pengurusan dana awam. Menurut beliau, kelemahan atau kelewatan dalam audit boleh menyebabkan ketirisan terus berlaku, manakala sistem audit yang diperkemas akan membantu mengekang masalah ini secara berkesan.

“Negara perlu memastikan sistem audit yang canggih, menyeluruh, dan berkesan. Dalam dua hingga tiga tahun akan datang, kita beri ruang maksimum untuk menjangkau semua jabatan dan sistem, selaras dengan peraturan dan undang-undang sedia ada,” tambah Anwar.