ALOR SETAR: Murid berusia enam tahun hanya akan dibenarkan memasuki Tahun 1 bermula 2027 sekiranya melepasi ujian diagnostik khas yang akan diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pendekatan itu selaras dengan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan matlamat memberi lebih fleksibiliti kepada ibu bapa dalam menentukan pendidikan awal anak-anak.
Menurut beliau, dasar tersebut bersifat pilihan dan bukannya satu keperluan wajib, namun perlu disokong melalui mekanisme penilaian bagi memastikan murid benar-benar bersedia dari segi emosi, kemahiran serta perkembangan diri.
“Kita tidak mahu keputusan ini dibuat tanpa penilaian. Ujian diagnostik khas akan menjadi asas untuk menentukan sama ada murid enam tahun bersedia mengikuti pembelajaran Tahun 1,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program PAKAT Prasekolah di Jabatan Pendidikan Negeri Kedah pada Rabu.
Fadhlina memaklumkan bahawa ibu bapa perlu mendaftarkan anak masing-masing bagi menduduki ujian diagnostik tersebut, dengan butiran pelaksanaannya akan diumumkan oleh KPM dalam masa terdekat.
Selain itu, beliau berkata pelaksanaan dasar berkenaan turut melibatkan persediaan menyeluruh termasuk kemudahan sekolah, perancangan penugasan guru serta sokongan sistem pendidikan yang akan dilaksanakan secara berfasa.
Menurutnya, KPM kini dalam proses mengenal pasti sekolah yang bersedia, termasuk merancang pembinaan kelas tambahan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi menangani isu kepadatan murid.
“Kita sudah mempunyai pengalaman membina lebih 100 sekolah menggunakan kaedah ini. Sekiranya keperluan timbul, kita mampu melaksanakannya dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Mengulas aspek tenaga pengajar, Fadhlina menjelaskan penempatan dan penjadualan guru akan ditentukan berdasarkan data daripada ujian diagnostik khas, selain latihan tambahan akan diberikan bagi memastikan guru bersedia mengendalikan murid enam tahun.
“Jumlah guru mencukupi. Fokus kita adalah menyusun penempatan dan memastikan mereka dilengkapi latihan bersesuaian dengan keperluan murid,” katanya.