Pengaruh Tempatan dan Luar Negara Dorong Penyebaran Ajaran Sesat – JAKIM

Oleh ABDULLAH HAMID

KUALA LUMPUR: Kemunculan ajaran sesat di Malaysia dikenal pasti berpunca daripada gabungan faktor domestik dan pengaruh luar negara, menurut dapatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata antara punca utama ialah salah tafsir serta kefahaman agama yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar, khususnya apabila al-Quran, hadis dan amalan tasawuf ditafsir tanpa disiplin ilmu serta sandaran kepada rujukan muktabar.

Beliau menjelaskan, kepentingan peribadi juga menjadi antara pemacu utama apabila terdapat pihak yang memperalatkan agama bagi meraih pengaruh, kesetiaan pengikut atau keuntungan tertentu.

Selain itu, katanya, pencampuran unsur kepercayaan tradisional dan amalan mistik dengan ajaran Islam turut menyumbang kepada kemunculan fahaman menyimpang di negara ini.

“Faktor dalaman ini menjadi lebih serius apabila wujud kegagalan mematuhi autoriti pihak berkuasa agama negeri, terutamanya apabila ajaran disebarkan oleh individu atau kumpulan tanpa tauliah dan tanpa pemantauan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini, bagi menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) berhubung punca kewujudan ajaran sesat di Malaysia.

Mengulas faktor luaran pula, Zulkifli berkata pengaruh ideologi dan fahaman agama yang menyimpang dari luar negara turut dibawa masuk melalui individu atau kumpulan tertentu.

Menurutnya, fahaman tersebut lazimnya disesuaikan dengan konteks tempatan menerusi tafsiran agama yang diubah suai, dakwaan pengalaman kerohanian peribadi serta pengagungan tokoh luar negara sebagai rujukan mutlak.

Beliau menambah, kemajuan teknologi komunikasi dan media turut memudahkan penyebaran doktrin ajaran sesat tanpa kawalan fizikal, sekali gus mencabar autoriti pihak berkuasa agama negeri serta pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini.

“Sehubungan itu, kerajaan mengambil pendekatan tegas dan menyeluruh melalui langkah pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan bagi mengekang penyebaran ajaran sesat yang kini menggunakan pelbagai modus operandi,” katanya.