KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan bahawa sebarang bentuk kerjasama atau penyatuan politik mesti berlandaskan nilai, integriti serta menghormati mandat rakyat, selain tidak boleh menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Amanah mengambil maklum cadangan ‘Kolaborasi Agung’ dan gagasan UMNO sebagai ‘Rumah Bangsa’ yang dibentangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.
Menurut beliau, walaupun Amanah sentiasa terbuka terhadap usaha memperkukuh perpaduan ummah, parti itu tidak akan menyokong sebarang kerjasama politik yang tidak berpaksikan nilai atau melanggar garis prinsip yang telah ditetapkan.
“Pendekatan Amanah berteraskan kompas RAHMAH, iaitu perpaduan yang bersifat inklusif serta menolak assabiyah atau perkauman sempit.
“Kepimpinan Melayu seharusnya berfungsi sebagai pelindung kepada seluruh rakyat Malaysia selari dengan prinsip Rahmatan lil ‘Alamin,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mujahid turut menegaskan bahawa Amanah tidak akan berkompromi dalam aspek integriti dan tadbir urus, termasuk menolak sebarang bentuk kerjasama politik yang bertujuan melindungi individu daripada tindakan undang-undang atau menutup salah guna kuasa.
Katanya, sebarang usaha penyatuan juga tidak boleh dijadikan jalan pintas atau strategi ‘tebuk atap’ yang boleh menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan, sambil menegaskan bahawa mandat rakyat mesti dihormati sepenuhnya.
Beliau menambah, rakyat kini menuntut penyelesaian konkrit terhadap isu ekonomi, sosial dan pendidikan, bukannya sekadar pengukuhan kuasa politik dalam kalangan elit Melayu.
Sehubungan itu, Mujahid berkata Amanah berpandangan bahawa penyatuan bangsa yang sebenar hanya dapat dicapai apabila kepimpinan Melayu berperanan sebagai qudwah atau teladan yang adil, amanah dan membawa manfaat kepada semua lapisan masyarakat.