KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil. 6/2025 yang menyaksikan beberapa langkah baharu digariskan demi mempercepat transformasi digital perkhidmatan awam.
Anwar berkata, Kerajaan MADANI komited memperkukuh sistem penyampaian melalui penggunaan teknologi bagi memastikan layanan kerajaan menjadi lebih cekap, mudah diakses, telus dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Antara keputusan utama mesyuarat ialah penubuhan Unit Transformasi Digital (DTU) di semua kementerian sebagai pemacu utama pendigitalan, selain mempercepatkan proses pendaftaran MyDigital ID di seluruh negara.
Turut dipersetujui ialah pembangunan MyGov Malaysia, sebuah portal digital sehenti berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang akan menjadi pintu masuk tunggal kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan.
“Mesyuarat juga memberi perhatian kepada keperluan meningkatkan liputan serta kualiti internet di institusi pengajian tinggi awam dan pusat latihan kerajaan, supaya pengajaran dan pembelajaran digital dapat dilaksanakan secara konsisten,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan bahawa kerajaan telah merangka Pelan Hala Tuju Ekosistem Kreatif Digital 2026–2030 (DICE Roadmap) bagi mengangkat Malaysia sebagai Hab Kreatif Digital Global dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pelan berkenaan, jelasnya, bertujuan membangunkan ekosistem yang dapat melahirkan bakat kreatif bertaraf dunia dan menghasilkan lebih banyak harta intelek tempatan yang berkualiti tinggi.
“Inisiatif-inisiatif ini merupakan asas kepada Fasa 3 Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (2026–2030) yang memberi fokus kepada pemerkasaan perniagaan, peningkatan kualiti hidup rakyat serta reformasi ekonomi digital negara,” katanya.
Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus melaksanakan agenda digitalisasi dengan lebih berkesan dan berpaksikan rakyat bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran teknologi masa depan.