Siasatan Pemilihan PKR: SPRM Tegas Dakwaan Rafizi Tidak Berasas

Oleh ABDULLAH HAMID

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan bahawa agensi itu digunakan untuk menekan atau menjalankan siasatan terhadap calon bertanding dalam pemilihan PKR pada Mei lalu, seperti yang disebut oleh bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, dalam sebuah podcast baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM menegaskan bahawa tuduhan tersebut tidak berasas dan menjelaskan bahawa sebarang siasatan hanya dimulakan berdasarkan aduan atau maklumat yang diterima mengikut ketetapan undang-undang.

SPRM turut memaklumkan bahawa setiap laporan yang mempunyai merit akan melalui proses verifikasi sebelum tindakan siasatan dijalankan seperti yang digariskan oleh prosedur operasi standard agensi itu.

Berhubung dakwaan kononnya SPRM ‘mengepung’ sebuah kediaman tertentu, agensi itu menjelaskan bahawa pegawai penyiasat hanya hadir ke rumah individu berkenaan untuk bertemu dan menjalankan penggeledahan bagi mendapatkan bahan bukti.

Menurut kenyataan itu lagi, kehadiran mengejut merupakan sebahagian daripada kaedah siasatan yang lazim bagi mengelakkan risiko pemusnahan bukti, dan selepas disahkan bahawa individu berkenaan tiada di rumah, pegawai beredar seperti biasa.

Pada hari berikutnya, individu itu hadir sendiri ke pejabat SPRM, keterangan diambil, dan beliau dilepaskan tanpa sebarang tahanan.

SPRM menegaskan bahawa semua tindakan dalam kes tersebut memenuhi keperluan undang-undang dan prosedur siasatan. Agensi itu turut menggesa mana-mana pihak yang tidak puas hati untuk membuat aduan melalui saluran rasmi seperti polis atau Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM.

Agensi itu turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat tuduhan tidak berasas di media sosial tanpa bukti kerana ia boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan.