ADDIS ABABA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan bahawa kini adalah masa sesuai bagi syarikat, pelabur dan pemimpin inovasi Ethiopia untuk memulakan operasi di Malaysia, sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN yang dinamik.
Beliau berkata peluang kerjasama antara kedua-dua negara terbuka luas, bukan hanya di Malaysia, tetapi juga merentasi blok ASEAN dan rantau Asia Pasifik.
“Biarkan Malaysia menjadi jambatan yang menghubungkan kepelbagaian dan potensi ekonomi bagi kedua-dua rantau kita,” kata Anwar dalam ucapan beliau pada Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Ethiopia-Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Addis, Addis Ababa.
Forum itu disertai lebih 80 pemimpin perniagaan dari Malaysia dan 54 wakil syarikat Ethiopia, selain kehadiran Presiden Ethiopia Taye Atske-Selassie dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Anwar menyifatkan kehadiran besar komuniti perniagaan kedua-dua negara sebagai petanda jelas bahawa potensi kerjasama lebih mendalam dan progresif wujud antara Malaysia dan Ethiopia.
Beliau menekankan bahawa lawatan rasmi pertamanya ke Ethiopia ini bertujuan mengukuhkan laluan baharu bagi perdagangan, pelaburan dan kemakmuran bersama, bukan sahaja dengan Ethiopia tetapi juga seluruh benua Afrika.
“Dalam dunia yang semakin kompleks akibat ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan isu perubahan iklim, semua negara perlu meneroka kerjasama baharu. Malaysia bersedia berdiri bersama Ethiopia dan Afrika dalam mengekalkan kestabilan, mempromosikan pasaran terbuka serta pertumbuhan inklusif dan lestari,” tambahnya.
Selain itu, Anwar menekankan bahawa penglibatan ekonomi Malaysia di Afrika telah berkembang secara konsisten, merangkumi sektor infrastruktur telekomunikasi, perkhidmatan penerbangan, pendidikan, pertanian dan tenaga. Beliau juga menyeru agar potensi tinggi dalam bidang teknologi digital, tenaga boleh diperbaharui, agroindustri, pembangunan infrastruktur dan kewangan Islam dimanfaatkan bersama.
Beliau turut menyatakan beberapa syarikat Malaysia telah menunjukkan minat untuk menjadikan Ethiopia sebagai hab strategik bagi Afrika Timur, sejajar dengan reformasi dan aspirasi logistik Ethiopia serta tenaga kerja mudanya yang dinamik.
“Ethiopia dan seluruh benua Afrika bukan sekadar rakan Malaysia, tetapi rakan strategik dalam dunia yang berubah dengan pantas,” tegasnya.