Malaysia pastikan kedaulatan dan kepentingan negara terpelihara dalam perjanjian perdagangan dengan AS

Oleh Ahmad Fahmi

KUALA LUMPUR, 29 Okt — Kerajaan menegaskan bahawa setiap rundingan dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat (AS) dijalankan dengan penuh berhati-hati dan berhemah bagi memastikan kepentingan serta kedaulatan negara terus terpelihara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata Malaysia kekal berpegang kepada prinsip berkecuali dan tidak akan membenarkan sebarang bentuk perjanjian menggugat maruah atau kedaulatan negara.

“Kerajaan bertindak dengan cermat dan bijaksana dalam rundingan ini — mempertahankan kelangsungan perniagaan, pasaran eksport serta maruah negara. Malaysia tidak akan sesekali membenarkan kedaulatannya digugat,” katanya pada Sesi Kenyataan Menteri mengenai ART Malaysia–AS di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa Perjanjian ART mengandungi klausa yang secara jelas menjamin kedaulatan Malaysia, sekali gus menolak dakwaan kononnya negara tunduk kepada tekanan luar.

Menurut Tengku Zafrul, perundingan dengan AS tetap perlu diteruskan meskipun Malaysia berdepan tekanan tarif unilateral, kerana langkah itu penting bagi melindungi kepentingan ekonomi dan pasaran eksport negara.

“Jika ART tidak dimeterai dengan segera, Malaysia berisiko berdepan kenaikan semula kadar tarif asal oleh kerajaan AS — daripada kadar sedia ada kepada 24 peratus atau lebih tinggi, yang boleh menjejaskan daya saing eksport kita,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu garis merah, khususnya yang melibatkan hak Bumiputera, dasar perolehan kerajaan, dan ekuiti sektor strategik nasional.

Mengulas kandungan perjanjian, beliau menjelaskan bahawa berdasarkan Artikel 5.1.1 ART, Malaysia tidak terikat untuk mengikut sebarang sekatan yang dikenakan AS ke atas negara lain, sekali gus menolak tafsiran bahawa negara perlu tunduk kepada dasar luar Washington.

Selain itu, Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa segala pembangunan melibatkan sumber strategik negara, termasuk unsur nadir bumi (REE), akan terus dikawal selia mengikut undang-undang Malaysia.

“Kerajaan MADANI tidak akan tunduk kepada mana-mana kuasa. Kita berunding dengan yakin, berpaksikan prinsip kedaulatan dan kepentingan negara,” ujarnya.

Beliau berkata, nilai eksport Malaysia ke Amerika Syarikat bagi tempoh Januari hingga September 2025 mencecah RM166.38 bilion, menggambarkan hubungan perdagangan yang kukuh dan saling menguntungkan antara kedua-dua negara.