KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia kini sedang melipatgandakan usaha diplomatik bagi membebaskan sembilan rakyat negara ini yang ditahan secara tidak sah oleh rejim Israel ketika menyertai misi Freedom Flotilla Coalition – Thousand Madleens To Gaza (FFC-TMTG) semalam.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memaklumkan bahawa pelbagai saluran antarabangsa sedang digerakkan bagi menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat terhadap semua individu berkenaan.
“Kerajaan Malaysia sedang berusaha keras dengan kerjasama negara sahabat, khususnya Republik Türkiye, bagi memastikan pembebasan mereka dapat dicapai dalam masa terdekat.
“Usaha turut dijalankan melalui Kedutaan Malaysia di Amman dan Ankara, selain sokongan pasukan peguam antarabangsa yang sedang berusaha mendapatkan akses konsular serta memastikan penghantaran pulang mereka ke tanah air dengan selamat,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra turut mengesahkan bahawa kesemua sembilan rakyat Malaysia yang ditahan dilaporkan berada dalam keadaan baik dan sihat, manakala aspek keselamatan serta kebajikan mereka menjadi keutamaan utama kerajaan.
Difahamkan, sembilan kapal yang menyertai misi kemanusiaan FFC-TMTG telah dipintas tentera Israel dan dibawa ke Pelabuhan Ashdod.
Kapal Conscience yang membawa lapan sukarelawan Malaysia tiba di pelabuhan tersebut sekitar 12.45 tengah malam, manakala kapal terakhir, Umm Saad, yang dinaiki seorang lagi rakyat Malaysia, berlabuh sekitar 6 pagi waktu Malaysia.