KUALA LUMPUR, 3 Oktober 2025 – Penahanan kapal Global Sumud Flotilla (GSF) oleh tentera laut Israel pada 2 Oktober 2025 bukan sahaja mencetuskan bantahan dunia, malah menguji kecekapan diplomasi Malaysia.
Antara ratusan aktivis antarabangsa yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza itu, terdapat 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan pihak Israel.
Namun, tempoh 24 jam pertama selepas insiden memperlihatkan langkah pantas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan seluruh institusi negara, yang terus menggerakkan diplomasi peringkat tertinggi, sokongan rakyat, serta solidariti antarabangsa.
Bermula seawal maklumat dan laporan bahawa kapal-kapal mereka dipintas dan ditahan pada 2 Oktober, tengah malam waktu Malaysia, Perdana Menteri terus berhubung dengan Sumud Nusantara Command Center (SNCC) untuk mendapatkan maklumat sahih mengenai keadaan sukarelawan Malaysia.
“Kerajaan sedang pantau secara dekat. Keselamatan mereka adalah keutamaan,” ujar Anwar yang juga penaung Sumud Nusantara kepada pihak SNCC.
Menjelang tengah hari, Anwar memberi jaminan akan menghubungi secara langsung Presiden Turkiye, Presiden Qatar, pimpinan Arab Saudi dan Mesir untuk mendapatkan sokongan segera dalam rundingan pembebasan.
Pada sebelah petangnya, Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan rasmi pertama, mengutuk keras tindakan Israel dan mengumumkan penggunaan saluran diplomasi maksimum.
Beberapa ketua negara telah dihubungi untuk mendapatkan bantuan secara diplomatik bagi membebaskan rakyat Malaysia.
Wisma Putra juga kemudiannya mengaktifkan rangkaian diplomasi melalui kedutaan Malaysia di Turkiye, Qatar, Mesir dan Jordan, memulakan perbincangan dengan pihak kerajaan dan NGO antarabangsa.
Menteri Agama mengarahkan semua masjid mengadakan solat hajat qunut nazilah, sebagai solidariti doa rakyat Malaysia.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pula menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan menyalurkan maklumat terkini dan telus kepada rakyat berhubung situasi semasa aktivis Malaysia.
Sebelah malamnya, Kementerian Luar Negeri mengesahkan semua rakyat Malaysia yang ditahan berada dalam keadaan selamat dan sihat, serta akan dihantar pulang melalui negara ketiga. Wisma Putra juga memberi jaminan sokongan konsular penuh kepada mereka.
Keduataan Malaysia di Amman dan Kaherah digerakkan segera untuk mendapatkan kerjasama diplomatik dengan kedutaan negara-negara ASEAN di Tel Aviv serta menyalurkan maklumat kepada Wisma Putra dan memastikan akses konsular jika dibenarkan.
Kedutaan Malaysia di Turkiye, Qatar, Mesir dan Jordan membuka saluran rundingan tidak langsung dengan pihak berkuasa antarabangsa untuk mendesak pembebasan segera.
Pagi 3 Oktober 2025, Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Al-Kahery, menerima panggilan telefon daripada Anwar.
Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia sedang melaksanakan usaha maksimum untuk membebaskan aktivis Malaysia.
“Beliau selaku Penaung Utama Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara bertanya khabar mengenai keadaan keluarga aktivis, kesihatan mereka, serta meminta saya menyampaikan salam beliau selain memberi jaminan penuh terhadap usaha kerajaan,” kata Dr Sani dalam kenyataan hari ini.
Anwar kemudian menghadap Yang di-Pertuan Agong, menyembah maklum perkembangan terkini.
Tuanku kemudian menzahirkan dukacita terhadap penahanan flotilla, menyokong penuh usaha kerajaan dan menyeru rakyat berdoa demi keselamatan aktivis.
NGO dan masyarakat sivil di Malaysia digerakkan dengan melancarkan kempen solidariti, doa selamat, serta desakan diplomasi melalui saluran media antarabangsa.
Perkembangan ini membuktikan Malaysia tidak duduk diam selepas flotilla ditahan khususnya dalam 24 jam pertama.
Langkah menyeluruh ini menampilkan imej Malaysia sebagai negara yang tegas membela rakyatnya serta konsisten dalam solidariti terhadap perjuangan kemanusiaan untuk Palestin.