Realtime website trackingweb stats

Kesalahan ejaan yang memalukan dan mencipta sejarah

Oleh ADINDA

Di laman-laman sosial kita dah biasa dengar dan mengalami orang atau kita sendiri salah ejaan ketika menaip atau biasa pengguna laman sosial sebut typo. Kalau di Facebook atau Whatsapp tersilap eja atau typo itu bolehlah kita edit atau padam dan taip semula kan, dan kadang kala kalau kita tak perasan silap-silap kesalahan ejaan itu jadi bahan jenaka kawan-kawan.

Namun, kalau kesalahan ejaan itu melibatkan urusan rasmi kerajaan atau korporat sudah pasti ia satu perkara yang mengaibkan dan tidak patut berlaku tambah pula yang melibatkan individu atau organisasi yang terkemuka. Apabila melibatkan individu atau organisai berprofil tinggi, ia pasti dinilai dari sudut ketelitian dan penyempurnaan tugas seseorang itu.

Bekas Presiden Amerika, Donald Trump pernah membingungkan seluruh dunia dengan hantaran Twitter di tengah malam mengandungi perkataan “covfefe” yang telah menjadi satu fenomena sehingga penggunaannya diharamkan oleh sebuah universiti.

Tahukah anda ada beberapa peristiwa salah ejaan yang memalukan dan tidak sepatutnya berlaku tetapi telah memberi kesan besar kepada beberapa individu dan organisasi berprofil tinggi sehingga mencipta sejarah dunia. Penggunaan media sosial amat berisiko bagi individu berprofil tinggi kerana ia kebiasaannya boleh dilihat oleh seluruh dunia serta berpotensi untuk ditularkan jika tercetusnya sebarang kontroversi. Apabila tular, berita itu akan terus kekal berlegar di Internet buat selama-lamanya dan amat sukar dipadam.

 

1. Penasihat Kanan Komunikasi Presiden Barack Obama

Pada 8 Oktober 2013, Dan Pfeiffer iaitu Penasihat Kanan Strategi dan Komunikasi bagi Presiden berkulit hitam pertama Amerika Syarikat iaitu Barack Obama sedang berbincang mengenai politik dengan beberapa pengikut Twitternya. Setelah beberapa balasan dan hantaran dibuat berkaitan polarisasi politik, Pfeiffer ingin memberikan respons dengan menulis “also a much bigger factor on the right.

Pfeiffer membalas tweet dari wartawan New York Times Jonathan Martin mengenai catatan NBC News yang membincangkan bagaimana media yang berubah telah menyumbang kepada peningkatan pola politik.

Malangnya jari Pfeiffer tidak sengja tertekan butang “n” menggantikan huruf “b” dalam perkataan “bigger” yang menjadi “nigger” dan  tidak menyedari kesalahan berbaur rasis tersebut. Setelah ditegur barulah dia perasan  dan terus memohon maaf atas kesalahan yang sangat dahsyat itu. Nigger merujuk kepada bangsa negro atau orang kulit hitam yang dianggap satu penghinaan dan bersifat perkauman yang sangat berat di Amerika Syarikat.

2. Jesus Vatican

Vatican terpaksa menarik semula syiling peringatan yang dikeluarkan khas sempena ulang tahun Pope Francis selepas menyedari kesalahaan ejaan ukiran nama Jesus.

Koin-koin itu, yang dihasilkan oleh Italian State Mint, diukir imej Jesus dan berapa frasa latin yang digemari Paus, tetapi frasa yang menyebut Jesus telah disalah eja dengan Lesus sedangkan perkataan lain yang dalam bahasa latin itu tepat dan betul.

Sempat terjual 4 keping syiling khas itu sebelum kesalahan pada 6000 pingat gangsa, perak dan emas yang lain disedari. Dikatakan empat keping yang telah terjual itu kini mempunyai harga yang sangat tinggi kerana dianggap unik dan terhad.

3. Exotic kepada erotic

Ini contoh paling dekat bagaimana kesilapan kecil tertukar satu huruf saja sudah memberi maksud yang jauh berbeza dan membawa kerugian yang sangat besar.
Pada tahun 1998, sebuah syarikat pelancongan telah membeli ruang pengiklanan di Yellow Pages.

Syarikat ini ingin mengiklankan promosi pakej percutian eksotik (exotic travel) iaitu pelancongan ke tempat-tempat yang kurang popular dan jarang dilawati. Malangnya, syarikat Pacific Bell yang menguruskan pengiklanan tersebut telah tersalah eja exotic kepada erotic.

Kesilapan ini menyebabkan syarikat pelancongan tersebut kehilangan 80% pelanggan berpotensi kerana salah sangka daripada perkataan yang tersalah eja itu. Syarikat Banner Travel kemudiannya telah menyaman pihak pengiklan sebanyak RM43 juta dan menuuntut ganti rugi kos pengiklanan mereka dipulangkan semula.

4. Taylor & Sons Ltd. VS Taylor & Son Ltd.

Syarikat Taylor & Sons merupakan sebuah syarikat yang kaya dan besar dalam bidang kejuruteraan di Britain. Ianya merupakan empayar perniagaan sebuah keluarga selama 124 tahun dan mempunyai 250 orang pekerja.

Walau bagaimanapun, akibat satu kesilapan kecil yang tidak disengajakan, syarikat ini yang ditubuhkan pada tahun 1875 akhirnya terpaksa gulung tikar.

Terjadi pada tahun 2009 apabila pihak pendaftar syarikat kerajaan British yang dikenali sebagai House Companies secara tidak sengaja mengisytiharkan syarikat Taylor & Sons sudah bankrap dan akan ditutup. Ketika kejadian, pengarah dan pemilik syarikat itu, Philip Davison-Sebry sedang bercuti di Maldives dan hanya dimaklumkan mengenainya oleh salah seorang pelanggan utamanya.

Rupa-rupanya pihak House Companies telah membuat kesilapan yang tidak disengajakan. Ketika membuat pengumuman bankrap tersebut, mereka sebenarnya merujuk kepada syarikat Taylor & Son (tanpa huruf s), bukanlah syarikat milik Philip, iaitu Taylor & Sons.

Kejadian ini memberi impak yang besar kepada bisnes mereka walaupun kesalahan itu telah diperbetulkan selepas 3 hari.
Setelah diisytiharkan bankrap, banyak pelanggan yang mula lari kerana ingin menyelamatkan diri. Banyak pesanan dibatalkan, kontrak ditamatkan dan kemudahan kredit ditarik balik oleh pihak pembekal. Akibatnya, pihak Taylor & Sons mula menghadapi masalah kewangan untuk beroperasi.

Akhirnya, setelah beberapa bulan menghadapi kekangan menjalankan bisnes, syarikat Taylor & Sons benar-benar terpaksa gulung tikar.
Syarikat Taylor & Sons telah bertindak menyaman House Companies atas kerugian besar yang dialami sehingga syarikat tersebut terpaksa ditutup.

Kes ini mendapat liputan yang hangat oleh media British. Pihak mahkamah walau bagaimanapun mendapati pihak kerajaan melalui House Companies bersalah dalam hal ini dan telah memerintahkan kerajaan membayar denda sebanyak RM 71.5 juta.

5. Tahanan dadah bebas kerana menteri tak guna nama sebenar

Seorang lelaki Sabah yang didakwa terlibat dalam pengedaran dadah bebas di Mahkamah Tinggi kerana perdana menteri yang ketika itu menteri dalam negeri, tidak menggunakan nama sebenarnya ketika mengeluarkan perintah tahanan pencegahan selama dua tahun, tahun lalu.

Perintah itu ditandatangani di bawah nama Muhyiddin Yassin. Nama sebenar perdana menteri dalam kad pengenalannya adalah Mahiaddin Md Yasin.

Pesuruhjaya Kehakiman Norsharidah Awang membenarkan permohonan habeas corpus oleh Awang Sari Lasikan kerana penggunaan ‘alias’ itu melanggar Akta Fungsi-fungsi Menteri dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas).

Peguam Zafran Zafri Mohd Zaini berkata, mahkamah membatalkan perintah tahanan pencegahan Sari itu dan mengarahkannya dibebaskan serta-merta.

“Di bawah Akta Fungsi-fungsi Menteri, nama dinyatakan dalam warta adalah Mahiaddin Md Yasin iaitu nama dalam MyKad beliau,” kata Zafri.

Polis menahan Sari di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) pada awal tahun lalu dan menahannya selama 60 hari untuk siasatan.

Muhyiddin kemudian menandatangani perintah tahanan itu dalam kapasitinya sebagai pemangku menteri dalam negeri kerana tiada Kabinet pada 9 Mac tahun lalu. Beliau dilantik menjadi perdana menteri pada 1 Mac tahun sama.

Tahanan pencegahan itu dicadangkan polis dan seorang pegawai inkuiri di bawah undang-undang dadah berkenaan.

Zafri yang dibantu peguam Danial Amir berkata, mahkamah membenarkan permohonan habeas corpus Sari kerana prosedur di bawah akta berkenaan mesti dipatuhi dengan tepat.

Dan baru-baru ini keluar satu memo arahan bertarikh 3 Jun 2021 yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri berkenaan penggunaan nama rasmi YAB Perdana Menteri adalah mesti menggunakan nama Mahiaddin Bin Md Yaasin atau Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yaasin berkuat kuasa serta merta yang turut dinyatakan hal ini susulan pandangan Jabatan Peguam Negara.

Hal ini merupakan satu sejarah pentadbiran negara apabila buat pertama kalinya dalam Malaysia berlaku Perdana Menteri Malaysia menukar nama rasminya ketika menjawat jawatan tersebut.

Jadi, siapa Muhyiddin Yaasin sebelum ini?